Menteri Koordinator Bidang Hiliran dan Peralihan Tenaga, Bahlil Lahadalia, menyatakan bahawa beliau akan menilai semula kontrak eksport gas dengan negara lain yang dianggap tidak memberikan kerjasama dan tidak menghargai Indonesia.
“Saya akan melakukan penilaian semula. Saya tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan penghentian eksport ke negara yang tidak menghargai Indonesia,” kata Bahlil pada Majlis Perasmian Penerimaan Gas JNE#6 dan Kemudahan Pengeluaran Lapangan Maha – South Hub di Jakarta.
Indonesia Pertimbang Henti Ekpsort Gas
Bahlil, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM), berkata sekiranya negara lain mempunyai isu dengan Indonesia yang boleh dibincangkan secara baik, perkara itu sewajarnya diselesaikan berlandaskan prinsip saling menghargai.
“Jangan hanya ketika memerlukan sesuatu, barulah mereka datang memohon. Apabila timbul isu lain yang sebenarnya boleh dibincangkan, mereka bersikap seperti saudara yang tidak tahu adat. Inilah yang kami tidak mahu,” ujar Bahlil.
Bahlil menegaskan bahawa Indonesia berpegang pada prinsip bahawa kedaulatan negara merupakan hak yang sah, manakala kemerdekaannya diraih menerusi perjuangan yang panjang.
Sementara itu, bagi negara yang menjalinkan hubungan berasaskan sikap saling menghargai dan menghormati dengan Indonesia, Bahlil menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam eksport tenaga.
“Kalau saling menghargai, sekalipun mereka tidak mempunyai kontrak, kita akan menyediakan kontrak dan membekalkan tenaga kepada mereka. Itulah prinsip kesaksamaan,” katanya.
Semalam, selepas menghadiri mesyuarat kabinet, Bahlil menyatakan bahawa beliau tidak akan melanjutkan eksport gas ke negara jiran.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menyentuh mengenai negara jiran yang berpandangan negatif terhadap Indonesia dan mengingatkan negara berkenaan supaya berhati-hati.
“Jadi, kalau negara lain mahu berpandangan negatif terhadap kita, berhati-hatilah. Saya juga mungkin mempertimbangkan untuk tidak melanjutkan eksport gas ke negara jiran,” ujar Bahlil.
