Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia Kecam Sekerasnya Pencerobohan Masjid Al-Aqsa Oleh Menteri Israel
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan menteri Israel yang menceroboh kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa dengan alasan menyambut hari pendudukan Israel di Baitulmaqdis Timur.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata tindakan provokatif ini merupakan penghinaan berat terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa serta mencerminkan pelanggaran berterusan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan sensitiviti agama.
"Malaysia menyifatkan insiden ini sebagai provokasi terancang dan sistematik oleh Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, bertujuan untuk mengukuhkan pendudukan haram serta mengubas status quo Masjid AL-Aqsa," tulis kenyataan itu lagi.
Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang secara jelas menolak sebarang percubaan untuk mengubah status, perundangan, mahupun komposisi demografi Baitulmaqdis, termasuk Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
"Sebagai kuasa pendudukan, Israel memikul tanggungjawab sepenuhnya di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi tapak-tapak keagamaan dan mengelakkan sebarang tindakan yang mencetuskan ketegangan.
"Pencerobohan yang dilakukan secara berulang-ulang dan sengaja ini jelas menunjukkan peningkatan konflik yang berisiko mengakibatkan ketidakstabilan lebih luas dalam situasi serantau yang sedia rapuh," ujarnya.
Menurut Wisma Putra lagi, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan Israel memikul tanggungjawab sepenuhnya serta menghentikan segala bentuk provokasi dengan serta-merta.
"Malaysia menegaskan semula solidariti terhadap rakyat Palestin serta komitmen untuk melindungi warisan keagamaan, budaya, serta nasional mereka," tambahnya.
Malaysia kekal dengan pendirian teguh menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berteraskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.