Presiden Israel, Isaac Herzog pada Sabtu memilih Gadi Eisenkot, pencabar terkuat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, untuk cuba membentuk kerajaan baharu susulan pilihan raya yang menemui jalan buntu, dengan kedua-duanya tidak mempunyai laluan jelas untuk meraih kuasa, lapor AFP.
Netanyahu, pemimpin paling lama berkhidmat di Israel, sedang berjuang untuk mempertahankan jawatannya selepas gabungan nasionalis berteraskan agama pimpinannya kehilangan majoriti dalam pilihan raya pada 27 Oktober, namun masih muncul sebagai blok terbesar di Parlimen.
Presiden Israel Pilih Eisenkot
Blok anti-Netanyahu yang diketuai Eisenkot, bekas ketua tentera, enggan bergabung dengan parti-parti Arab yang boleh memberikannya majoriti. Namun, pemimpin Arab yang marah terhadap dasar Netanyahu dan sekutu berhaluan kanan jauhnya, yang mereka anggap bersifat perkauman, tetap mencalonkan Eisenkot dalam rundingan berpanjangan dengan presiden.
“Presiden Herzog telah menjemput Gadi Eisenkot ke Kediaman Presiden, di mana beliau akan diberi mandat untuk membentuk kerajaan esok,” kata jurucakap Herzog. Jawatan presiden yang sebahagian besarnya bersifat istiadat itu merangkumi peranan mencalonkan seseorang untuk membentuk gabungan selepas pilihan raya.
Peluang tipis
Rundingan berlarutan selama beberapa minggu dijangka menyusuli pencalonan Eisenkot. Beliau mempunyai tempoh 28 hari untuk cuba membentuk kerajaan, dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari.
Antara laluan yang berpotensi membawanya ke tampuk kuasa ialah cuba membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan parti-parti Arab dari luar kerajaan; membentuk gabungan dengan parti-parti ultra-Ortodoks yang sebelum ini dijauhi beliau dan sekutunya; atau membentuk kerajaan perpaduan bersama Netanyahu.
Penganalisis berkata ketiga-tiga pilihan itu berkemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan.
Jika Eisenkot gagal, calon lain boleh cuba membentuk kerajaan dan sekiranya calon itu turut gagal, Parlimen boleh mencalonkan seorang lagi.
Proses tersebut mempunyai had masa sekitar 100 hari. Jika tiada sesiapa berjaya, satu lagi pilihan raya akan diadakan.
Likud memenangi kerusi terbanyak bagi sebuah parti dengan memperoleh 27 daripada 120 kerusi Knesset, tetapi keseluruhan gabungan nasionalis berteraskan agama pimpinan Netanyahu hanya meraih 53 kerusi, kurang daripada 61 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti.
Parti Yashar pimpinan Eisenkot muncul sebagai parti kedua terbesar dengan 21 kerusi, manakala gabungannya yang merangkumi empat parti pimpinan Yahudi berhaluan kiri tengah hingga kanan hanya memenangi 48 kerusi. Dua parti yang mewakili minoriti Arab Israel memenangi 19 kerusi, pencapaian yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Eisenkot, 66, yang merupakan anak kepada imigran Maghribi, bakal menjadi perdana menteri pertama negara itu daripada komuniti Mizrahi Israel, iaitu orang Yahudi yang berasal daripada keturunan di Asia Barat dan Afrika Utara.
Bersikap pendiam dan kurang selesa dengan perhatian media, Eisenkot hanya memasuki politik pada 2022. Beliau berkhidmat sebentar dalam kabinet perang Netanyahu selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 sebelum kembali menyertai pembangkang.
Sejak itu, beliau lantang mengkritik kepimpinan Netanyahu termasuk cara perdana menteri itu mengendalikan kempen ketenteraan di Gaza, serta berikrar tidak akan menyertai kerajaan yang diterajuinya.
Imej awam Eisenkot turut dibentuk oleh pengorbanan peribadi keluarganya apabila seorang anak lelaki dan dua anak saudaranya terbunuh ketika bertempur di Gaza.
Sepanjang kempen pilihan raya, beliau menonjolkan kredibiliti keselamatannya dengan merujuk kepada “Doktrin Dahiyeh”, pendekatan ketenteraan yang menekankan tindak balas besar-besaran terhadap serangan musuh, yang pernah digunakannya ketika perang Israel-Hezbollah pada 2006.
Pada masa sama, Eisenkot turut mengkritik keganasan peneroka Yahudi terhadap rakyat Palestin yang meningkat sejak 2023, sekali gus menjejaskan hubungan Israel dengan negara-negara Barat.
Beliau juga menentang dua sekutu kanan jauh Netanyahu, iaitu Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, yang pernah dikenakan sekatan oleh beberapa negara Barat kerana didakwa menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.
