ISTANBUL, 12 Nov (Bernama-Anadolu) -- Serangan udara Israel ke atas Kompleks Perubatan Nasser di selatan Gaza pada awal pagi Khamis mengorbankan enam rakyat Palestin dan mencederakan lebih 20 yang lain, menurut Pertahanan Awam Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Serangan itu mengenai tingkat dua bangunan Al-Yasin di kompleks berkenaan yang terletak di barat Khan Younis.
Pengarah hospital itu berkata serangan berkenaan menyebabkan kerosakan teruk pada wad rawatan rapi dan wad pembedahan.
Radio Tentera Israel mendakwa serangan itu merupakan “operasi pembunuhan” tanpa memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, lima rakyat Palestin terkorban dalam serangan Israel di Bandaraya Gaza dan kem pelarian Bureij pada Rabu, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan Israel pada Selasa.
Serangan itu berlaku ketika Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.
Pelanggaran berkenaan telah mengorbankan 1,622 rakyat Palestin dan mencederakan 5,878 yang lain.
Sejak Oktober 2023, perang Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 74,600 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 176,000 yang lain, dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Peperangan itu turut memusnahkan 90 peratus infrastruktur wilayah berkenaan.

