RAMALLAH/ISTANBUL, 9 Nov (Bernama-Anadolu) -- Kira-kira 2.1 juta penduduk di Semenanjung Gaza memerlukan perlindungan serta bantuan kemanusiaan sepanjang musim sejuk di tengah-tengah pemindahan berterusan, keadaan hidup yang semakin meruncing dan sekatan Israel terhadap bekalan bantuan, kata seorang menteri Palestin pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Menteri Pembangunan Sosial Samah Hamad berkata demikian pada sidang media di Pusat Komunikasi Kerajaan di Ramallah, di tengah Tebing Barat yang diduduki.
Hamad memaklumkan bahawa kira-kira 30 peratus daripada bekalan bantuan dan tempat perlindungan masih terkandas di pintu sempadan susulan tindakan rejim Israel, sekali gus menghalang penghantarannya ke Gaza.
Beliau menegaskan usaha menangani krisis kemanusiaan berkenaan bukan sekadar memerlukan dana, sebaliknya turut menuntut jaminan kemasukan bekalan bantuan, bahan binaan tempat perlindungan, barangan keperluan musim sejuk dan peralatan membaik pulih.
Menurut Hamad, lebih 1.76 juta orang atau 84 peratus daripada jumlah penduduk Gaza kini tinggal di pusat pemindahan yang sesak.
Beliau berkata lebih 65 peratus keluarga berteduh di dalam khemah serta pusat perlindungan sementara, manakala lebih 370,000 unit kediaman mengalami kerosakan atau musnah sepenuhnya.
Lebih 300,000 keluarga pula tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi daripada cuaca sejuk dan hujan lebat, katanya.
Hamad menegaskan bahawa Gaza amat memerlukan 200,000 khemah serta 200,000 kain tarpal untuk menampung keperluan tempat berteduh.
Beliau turut mendedahkan sebanyak 19 kematian berkaitan hipotermia dilaporkan sejak dua tahun lepas.
Menteri itu turut memberi amaran berhubung peningkatan risiko banjir dan takungan air hujan di lebih 1,600 lokasi penempatan mangsa, manakala 80 peratus infrastruktur air di Gaza memerlukan pembaikan segera.
Lebih 74,000 orang maut dan lebih 175,000 lagi cedera sejak Oktober 2023 akibat serangan Israel ke atas Gaza yang memusnahkan hampir seluruh wilayah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU

