Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengorak langkah ke hadapan apabila mementeraikan kerjasama strategik bersama Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pengurusan harta masyarakat Islam di seluruh negara.
Majlis penandatanganan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha MAIS, Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin.
Turut menyaksikan penyempurnaan majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Operasi MAIS, Puan Hajah Norlaili Mohamad, serta Ketua Divisyen Syariah AFFIN ISLAMIC, Tuan Syed Muhammad Syed Mohamad Nasir.

Perluas Perancangan Harta & Digitalisasi
Melalui persefahaman ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk mempertingkat kefahaman serta memperluas pelaksanaan pengurusan harta berlandaskan syariah demi kesejahteraan ekonomi dan sosial umat Islam.
Antara fokus utama kerjasama ini merangkumi:
Penyampaian Maklumat Efektif: Memastikan maklumat berkaitan wasiat, hibah, dan harta pusaka disampaikan secara lebih meluas, mudah difahami, serta mudah diakses.
Digitalisasi Pengurusan Harta: Meningkatkan perancangan harta yang berkesan menerusi pendaftaran wasiat dan hibah secara digital.
Kemudahan Saluran Infak: Memudahkan urusan pembayaran fidyah, kaffarah, serta sumbangan infak buat masyarakat.
MAIS kini giat memperkasa perancangan dan pewarisan harta Islam serta terimaan sumber am Baitulmal menerusi kolaborasi bersama pelbagai rakan strategik merangkumi institusi perbankan, pengelola jemaah haji dan umrah, syarikat perancangan harta, hingga ke institusi pendidikan.
Pihak MAIS berharap jalinan kerjasama erat bersama AFFIN ISLAMIC ini mampu meluaskan celik kefahaman masyarakat terhadap perancangan harta patuh syariah, sekali gus memangkas pemerkasaan ekonomi umat Islam secara menyeluruh.
Hargai Peranan & Sokongan Rakan Media
Dalam majlis yang sama, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu dalam membuat liputan pelbagai kejayaan, peristiwa, serta aktiviti MAIS sepanjang tahun 2025.
Antara pengamal media yang hadir merangkumi wakil daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Selangor, TV Alhijrah, RTM JAKIM, Sinar Harian, Berita Harian, Harian Metro, Utusan, Kosmo, Bernama, Radio IKIM, Radio Zayan, serta agensi media arus perdana dan digital yang lain.
MAIS amat menghargai hubungan erat yang terjalin dan berharap sinergi ini terus diperkukuh bagi menyebarkan maklumat berkaitan peranan MAIS, agensi, dan anak-anak syarikatnya kepada masyarakat umum.
