Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MAIS Perluas Akses Perancangan Harta Islam Menerusi Kerjasama Dengan TH Travel

MAIS
Kredit: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperluas usaha memperkukuh pengurusan harta masyarakat Islam menerusi kerjasama strategik bersama TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS).

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan meningkatkan kefahaman serta memperluas pelaksanaan pengurusan harta berlandaskan syariah demi kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di seluruh negara.

Dalam kenyataan hari ini, MAIS memaklumkan majlis menandatangani memorandum berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Tengku Dato’ Badlishah Shukri T. Ibrahim.

Majlis tersebut turut disaksikan Pengarah Baitulmal MAIS, Indera Shahril Mohd Shahid dan Pengurus Besar Komersial THTS, Nik Zuraini Zulkifli.

Menurut MAIS, kerjasama itu membolehkan maklumat berkaitan wasiat, hibah, harta pusaka dan perkhidmatan berkaitan disampaikan secara lebih meluas, mudah difahami serta mudah diakses oleh masyarakat.

Inisiatif berkenaan turut merangkumi usaha menggalakkan perancangan harta yang lebih teratur menerusi pendaftaran wasiat dan hibah secara digital, selain kemudahan pembayaran fidyah, kaffarah serta sumbangan infak.

MAIS berkata, kerjasama bersama THTS berpotensi memperluas capaian perkhidmatannya kepada kelompok masyarakat yang lebih besar, khususnya bakal jemaah haji dan umrah yang menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan.

Jelasnya, kerjasama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat dalam aspek perjalanan haji dan umrah, malah membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat serta perkhidmatan berkaitan perancangan harta Islam.

Bagi memastikan pelaksanaan kerjasama berjalan secara menyeluruh, memorandum berkenaan memberi tumpuan kepada empat skop utama iaitu perluasan akses perkhidmatan, promosi dan hebahan bersama, perkongsian ilmu serta peningkatan kesedaran dan penerokaan peluang kerjasama baharu.

Dalam pada itu, MAIS berkata pihaknya terus mempergiat usaha memperkasakan perancangan dan pewarisan harta Islam serta penerimaan sumber am Baitulmal menerusi kerjasama dengan pelbagai rakan strategik.

Menurutnya, rakan strategik berkenaan merangkumi institusi kewangan dan perbankan, pengelola jemaah haji dan umrah, syarikat perancangan harta Islam serta institusi pendidikan.

MAIS berharap kerjasama erat bersama THTS dapat meningkatkan kefahaman masyarakat Islam mengenai kepentingan pengurusan dan perancangan harta yang mematuhi syariah.

Ujarnya, usaha itu sekali gus diharap dapat menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi masyarakat Islam.

Intipati
  • MAIS dan TH Travel memeterai MoU bagi memperkukuh pengurusan harta Islam berlandaskan syariah.
  • Kerjasama itu meliputi wasiat, hibah, pusaka, fidyah, kaffarah, infak dan pendaftaran digital.
  • MAIS menyasarkan capaian lebih luas, khususnya kepada bakal jemaah haji dan umrah THTS.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan