Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Cipta Rekod Baharu, Tawan Puncak Everest Dalam Masa 9 Jam 55 Minit

Sofea
Tawan Puncak Everest
Kredit: Instagram Tyler Andrews

Lelaki Cipta Rekod Baharu, Tawan Puncak Everest Dalam Masa 9 Jam 55 Minit

Pendaki Amerika Syarikat (AS), Tyler Andrews mencipta rekod baharu pendakian terpantas, selepas tiba di puncak gunung tertinggi dunia itu sejam lebih pantas berbanding rekod sebelumnya.

Andrews, 36, mendaki puncak setinggi 8,849 meter itu dalam tempoh hanya sembilan jam 55 minit, sekali gus memecahkan rekod 10 jam 56 minit yang dipegang pendaki Nepal, Lhakpa Gelu Sherpa sejak 2003.

Menurut AFP, Andrews berjaya menamatkan pendakian menggunakan bantuan oksigen tambahan di Gunung Everest pada 28 Mei lalu.

Bagaimanapun, catatan masa itu masih memerlukan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa pergunungan Nepal.

Menurut hantaran di Instagram miliknya yang turut memaparkan penjejakan GPS secara langsung, Andrews tiba di puncak Everest sejurus sebelum subuh.

“Beliau tiba di puncak Everest dalam tempoh hanya sembilan jam 55 minit,” kata ketua pasukan, Dawa Steven Sherpa dari Asian Trekking kepada AFP.

Pasukan Asian Trekking memaklumkan Andrews melakukan pendakian secara solo, manakala jurupandu membekalkan oksigen tambahan, makanan dan air serta memantau pergerakan pendakiannya.

Pada awal Mei lalu, beliau pernah cuba memecahkan rekod pendakian Everest tanpa bantuan oksigen tambahan selama 22 jam 29 minit, namun terpaksa berpatah balik.

Andrews yang memaklumkan dirinya merupakan seorang bekas pesakit kanser turut mengumpul dana bagi membantu atlet muda di Ecuador dan Nepal yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan latihan dan peralatan sukan.

Lebih 950 pendaki dilaporkan berjaya tiba di puncak Everest pada musim ini, ketika tempoh cuaca sesuai untuk pendakian semakin hampir ke penghujungnya.

Sementara itu, lima individu dilaporkan terkorban pada musim ini, membabitkan dua pendaki India dan tiga pendaki Nepal yang terlibat dalam persiapan pendakian Everest.

Jumlah itu lebih rendah berbanding 18 kematian yang direkodkan pada 2023, musim paling buruk dalam sejarah pendakian gunung berkenaan.