Penanda arah kiblat yang disemak dan disahakan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah telah diletakkan di beberapa hentian rehat bagi menunaikan urusan ibadah para pendaki.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu hantaran memaklumkan bahawa misi menawan Gunung Kinabalu itu telah disertai oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pendakian berjaya ditempuhi berbekalkan keazaman, ketabahan dan semangat yang saling menguatkan, sambil menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT.
JAKIM Pasang Penanda Arah Kiblat

“Berbekalkan keazaman, ketabahan dan semangat saling menguatkan, cabaran pendakian berjaya ditempuhi hingga ke puncak, sambil menghayati kebesaran ciptaan-Nya.
“Sepanjang laluan pendakian, penanda arah kiblat yang telah disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah turut diletakkan di beberapa hentian rehat bagi memudahkan urusan ibadah para pendaki,” katanya.
Dalam pada itu, misi tersebut turut diserikan dengan sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada para malim gunung di Kinabalu Park sebagai penghargaan atas jasa mereka membantu serta menjaga keselamatna pendaki.
“Program bersama komuniti di Kampung Mesilou, Kundasang yang telah berlangsung juga pastinya meninggalkan kenangan terindah antara penduduk setempat dengan warga agensi agama,” ujarnya.

JAKIM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung serta komuniti setempat khususnya di Kampung Mesilou, Kundasang yang telah berganding bahu menjayakan keseluruhan program tersebut.
“Semoga ukhuwah yang terjalin dan semangat kebersamaan yang terbina terus menyuburkan usaha dakwah serta khidmat kepada masyarakat,” katanya.

