Bila menempuh perjalanan jauh, sudah tentu ramai yang lebih memilih pengangkutan yang selesa dan tidak memenatkan.
Namun, ada juga mahu mencuba sesuatu yang baharu dan menganggap perjalanan jauh sebagai satu pengalaman tersendiri.
Begitulah kisah seorang pengguna Threads, @syahira.noh yang pada awalnya mahu mencuba perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu, Sabah kemudian kembali ke Tawau semula menggunakan kereta.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut ternyata meninggalkan rasa kesal buat dirinya dan keluarga apabila mereka terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dan memenatkan.
Susulan pengalaman tersebut, @syahira.noh berkata dia tidak bercadang untuk mengulangi perjalanan berkenaan menggunakan kereta.
“Aku rasa ni memang first and last lah pergi Kota Kinabalu dari Tawau naik kereta. Sayang kereta oii.
“Dengan salin pampers anak tengah-tengah kereta berjalan lepastu najis anak tercalit kat baju aku,” katanya.
Wanita Serik Guna Kereta Dari Kota Kinabalu Ke Tawau

Dalam perkongsian sama, @syahira.noh turut menjelaskan bahawa perjalanan mereka bermula dari Tawau ke Kundasang sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.
Bercakap kepada SK, dia berkata perjalanan itu dilakukan bersama suami dan dua anak mereka bagi membawa bapa mentuanya yang sedang bercuti di Sabah bersiar-siar.
Selepas selesai berjalan-jalan, mereka kemudian memulakan perjalanan pulang dari Kota Kinabalu ke Tawau.
Bagaimanapun, mereka terpaksa berhenti dan bermalam di Sandakan kerana terlalu penat untuk meneruskan perjalanan.
Malah, perjalanan jauh itu turut menyebabkan dia mengalami sakit badan sehingga meluahkan rasa tidak sanggup untuk mengulangi pengalaman berkenaan.
“Trip kali ni dari Tawau-Kundasang-KK-Sandakan-Tawau. Cukup la ekk merasa jalan darat ni. Tercabut pinggang saya,” kongsinya.
Menurutnya, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan sahaja mengambil masa kira-kira tujuh jam sebelum mereka bermalam di sana kerana terlalu penat.

Keesokan harinya, mereka menyambung perjalanan selama lima jam lagi dari Sandakan ke Tawau.
“Dua hari satu malam, tujuh jam dari Kota Kinabalu ke Sandakan. Bermalam di Sandakan sebab dah tak larat sangat. Lima jam Sandakan ke Tawau.
“Lama sebab jalan teruk, faktor cuaca tak elok. Dan ada berhenti-henti untuk solat dan isi minyak,” katanya.
Dalam pada itu, @syahira.noh turut memaklumkan bahawa dia dan keluarganya baru sahaja berpindah ke Tawau, manakala bapa mentuanya pula sedang bercuti di sana.
Justeru, mereka mengambil peluang tersebut untuk membawanya berjalan-jalan dan melihat tempat menarik di sekitar Sabah.
“Bapa mentua saya sedang bercuti di Tawau. Memang nak bawa dia jalan-jalan Sabah sebab dia di sini bulan ni,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai keputusan menggunakan kereta, dia berkata mereka sebenarnya mahu mencuba perjalanan jarak jauh melalui 'jalan darat'.
Selain itu, kos tiket kapal terbang untuk lima orang ahli keluarga turut menjadi pertimbangan mereka sebelum memilih untuk memandu.
“Kami berlima, nak beli tiket flight mahal,” katanya kepada SK.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa warga maya dari Sabah turut berkongsi pengalaman masing-masing ketika melakukan perjalanan jarak jauh menggunakan 'jalan darat' di negeri itu.





