Insiden pesawat terhempas di Palm Beach, Florida, semalam pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang penerbangan.
Berdasarkan rakaman perbualan antara juruterbang dan pusat kawalan udara, pembentukan ais pada pesawat dipercayai menjadi antara faktor yang menyebabkan kejadian tersebut.
Susulan insiden itu, seorang juruterbang dan bekas pegawai polis, Mohd Ezairol Rezan Zainol tampil berkongsi pengalaman cemas yang pernah dilaluinya ketika berkhidmat sebagai juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Mohd Ezairol, dia sendiri pernah berdepan masalah pembentukan ais kira-kira 14 tahun lalu sehingga menyebabkan pesawat yang dipandunya hampir terhempas.
“Ini adalah pengalaman yang paling menakutkan bagi aku sepanjang karierku bersama PDRM. Kejadian yang berlaku awal pagi hari itu masih jelas di ingatan,” katanya.
Juruterbang Kongsi Pengalaman Hampir Terhempas Di Gunung Kinabalu

Mengimbas kembali kejadian tersebut, Mohd Ezairol berkata dia ditugaskan membawa beberapa pegawai kanan polis berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dalam penerbangan rasmi dari Kota Kinabalu ke Tawau, Sabah.
Pada awal penerbangan, mereka melalui beberapa kelompok awan kecil seperti kebiasaannya ketika berada pada ketinggian kira-kira 17,000 kaki.
Selepas beberapa ketika meredah awan, pesawat akhirnya keluar ke kawasan langit cerah sebelum keadaan tiba-tiba berubah tanpa diduga.
“Pada awal penerbangan, kami menempuh dan membelah beberapa awan kecil yang telah biasa kami tempuhi sebelum ini. Ketinggian pada waktu itu adalah 17,000 kaki.
“Setelah beberapa ketika berada di dalam awan putih, kami akhirnya bebas dari keadaan yang berawan dan akhirnya dapat melihat langit biru yang mendamaikan.
“Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Tak sampai seminit selepas keluar dari awan, tiba-tiba pesawat yang diterbangkan dengan auto-pilot itu bergegar dengan kuat,” ujarnya.
Ketika mereka cuba mengenal pasti punca gegaran, pesawat tiba-tiba senget ke kiri dengan kedudukan banking melebihi 45 darjah.
Keadaan bertambah cemas apabila bahagian kawalan pesawat atau control column tiba-tiba tersekat sehingga menyukarkan Mohd Ezairol mengawal dan menstabilkan penerbangan.
Dalam beberapa saat sahaja, pesawat yang berada pada ketinggian 17,000 kaki itu menjunam sehingga paras 15,000 kaki.
Dia menggambarkan pengalaman tersebut seperti seketul batu yang jatuh dari tempat tinggi, malah ketakutan ketika itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Camna rasanya? Perasaannya adalah seperti jatuh dari tempat yang tinggi umpama sebiji batu. Ianya sangat menakutkan aku.
“Tak sempat pun aku nak transmit Mayday Call ke ATC. Aku hanya sempat sebut Allahu Akbar dan ingat anak isteri saja masa tu,” kongsinya.
Bagaimanapun, mereka akhirnya berjaya mendapatkan semula kawalan pesawat ketika berada pada ketinggian 15,000 kaki sebelum keadaan kembali stabil.
“Penumpang tak tahu yang nyawa mereka semua betul-betul dihujung tanduk tadi. Kalau kami lambat sikit je 'regain back control', pasti dah jadi arwah kami semua kat kaki Gunung Kinabalu,” katanya.
Sebaik sahaja selamat mendarat di Tawau, siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca pesawat tiba-tiba menjunam ketika penerbangan.
Hasil siasatan mendapati pembentukan ais jernih atau clear ice pada bahagian sayap dan elevator pesawat menjadi punca kejadian tersebut.
Menurutnya, lapisan ais berkenaan dipercayai mula mencair dan pecah apabila pesawat berada pada ketinggian 15,000 kaki, sekali gus membolehkan mereka mendapatkan semula kawalan.
“Hasil daripada siasatan terperinci selepas itu, masalah pembentukan 'clear ice' pada 'wing & elevator' adalah penyebabnya.
“Icing tersebut dikhabarkan cair dan pecah sebaik sahaja pesawat berada di ketinggian 15,000 kaki. Itulah sebabnya kenapa kami dapat kawal semula kapal tersebut dari terus terjunam jatuh,” ujarnya.
Insiden tersebut hampir meragut nyawanya dan meninggalkan kesan mendalam sehingga Mohd Ezairol mengambil masa hampir enam bulan untuk mengatasi ketakutan berkenaan.
Mengakhiri perkongsiannya, dia menyifatkan kehidupan seorang juruterbang tidak jauh berbeza dengan nelayan yang turut bergantung pada keadaan cuaca ketika bekerja.
“Kehidupan sebagai juruterbang ini sebenarnya tak ubah seperti seorang nelayan di lautan.
“Kami sentiasa mengharapkan cuaca yang baik untuk memudahkan perjalanan dan keluar mencari rezeki untuk orang tersayang,” katanya.

