Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS) meraih tujuh kemenangan dalam Pertandingan Young Reporters for the Environment (YRE) 2026 Peringkat Kebangsaan, dengan dua pelajarnya dipilih mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa tahun depan.
Menurut maklumat yang dikongsikan pihak sekolah, tujuh kemenangan itu merangkumi tiga gelaran johan, dua naib johan dan dua tempat ketiga dalam pertandingan yang menerima keseluruhan 421 penyertaan dari seluruh negara.
Dua pelajar yang dipilih ke pertandingan YRE Peringkat Antarabangsa 2027 ialah Nur Eryna Cataleya Mohd Fairuz dan Luthfiyyah Iqmar Zariwan Iqmar.
Luthfiyyah Iqmar merangkul dua gelaran johan kebangsaan menerusi kategori Video Laporan Panjang atau Long-Form Reportage Video serta Podcast bagi kumpulan umur 14 hingga 17 tahun.
Kemenangan itu turut menyaksikannya mempertahankan kejuaraan kebangsaan kategori Video Laporan Panjang selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024.
Sementara itu, Nur Eryna Cataleya yang merupakan pelajar Tingkatan Satu muncul johan kebangsaan kategori Video Laporan Panjang bagi kumpulan umur 10 hingga 13 tahun.
KUSESS turut meraih dua kedudukan naib johan menerusi Nur Dhiya Qaleesya Marzukie dalam kategori Video Laporan Panjang bagi kumpulan umur 14 hingga 17 tahun serta Husna Amani Idzham Fauzi dalam kategori One Take Photo bagi kumpulan umur 10 hingga 13 tahun.
Dua lagi kemenangan disumbangkan Uthman Zafri Jefri yang menduduki tempat ketiga kategori One Take Photo serta Alisya Nasreen Ahmad Nazmi dalam kategori Video Laporan Panjang, masing-masing bagi kumpulan umur 10 hingga 13 tahun.

