Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perbezaan budaya dan agama bukanlah penghalang untuk mengenali dan memahami kehidupan individu lain, malah perbezaan ini boleh menjadi titik permulaan kepada sebuah persahabatan yang penuh warna.
Perkara ini dapat dilihat menerusi kisah seorang kanak-kanak autistik (non-speaking autistic), Joshua Harris yang memilih untuk menggunakan minatnya dalam menghasilkan kek sebagai cara untuk berkomunikasi dan mendekati masyarakat di sekelilingnya.
Joshua atau lebih dikenali sebagai The Joshie Man (TJM) mengetengahkan mesej kasih sayang, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbeza agama serta budaya menerusi kempen 'Cake Not Hate'.
Kempen yang bermula dari United Kingdom ini tiba di Malaysia dan telah menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Beliau telah menerima kunjungan hormat daripada kanak-kanak berkenaan bersama keluarganya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidbin, Putrajaya baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook Dr. Zulkifli, beliau telah berkongsi video memaparkan pertemuan berkenaan disamping turut melakukan perbincangan dengan bapa Joshua, Dan Harris.
Sementara itu, menerusi TikTok @thejoshieman2013, Dan berkongsi pertemuannya dengan Dr Zulkifli memberi dia dan Joshua semangat untuk meneruskan kempen 'Cake Not Hate' walaupun menerima tentangan ramai.
"Sokongan di peringkat ini memberi kami semangat baru untuk teruskan kempen Cake Not Hate, walaupun tentangan usaha ini semakin rancak di tanah air.
"Sudah tentu, The Joshie-Man turut berkongsi kek bersama Menteri dan pasukannya sebelum berkunjung ke Masjid Besi Putrajaya yang cukup mengagumkan.
"Kami tidak akan gentar. Kami tidak akan berdiam diri. Kebaikan akan sentiasa lebih kuat," katanya.
Sebelum ini, Dan memaklumkan bahawa dia dan Joshua mengambil keputusan untuk mengagihkan kek buatan sendiri sebagai tanda solidariti kepada orang Muslim selepas sebuah masjid di Peterborough diserang oleh pelampau sayap kanan.
Namun, siapa sangka tindakan kecil itu berkembang dan menjadi gerakan yang membawa membawa mesej bahawa kebencian, Islamofobia dan perpecahan boleh dilawan menerusi persahabatan serta sifat saling memahami.
Sehingga kini, Joshua telah melawat lebih 180 masjid di seluruh dunia dan mengagihkan kek buatan sendiri di masjid-masjid berkenaan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan