Menyampaikan pandangan dan meluahkan isi hati bukan hanya boleh dilakukan menerusi kata-kata, malah seni juga mampu menjadi medium untuk menyuarakan sesuatu mesej kepada masyarakat.
Mungkin itulah yang cuba disampaikan menerusi persembahan tarian tradisional masyarakat Dayak di Kalimantan apabila mereka menari di kawasan tanah yang hangus akibat kebakaran hutan yang telah berlarutan hampir empat bulan.
Menerusi perkongsian di Instagram Zwageri Generation, para penari dilihat mengenakan pakaian tradisional Dayak, selain memakai topeng pelindung dan but tahan api ketika membuat persembahan di kawasan berkenaan.
Tarian Kaum Dayak Kalimantan Bawa Mesej Mendalam
Menurut kapsyen yang dikongsikan, persembahan itu mengetengahkan Tari Ma’alap Senggayung, warisan adat Dayak Pesaguan yang menjadi sebahagian daripada rangkaian upacara adat Buah Galau, upacara tradisional yang berkait dengan musim buah-buahan hutan.
Bunyi buluh senggayung dalam ritual berkenaan melambangkan penghormatan kepada nenek moyang, selain harapan agar musim buah membawa keberkatan kepada masyarakat setempat.
Namun, persembahan itu membawa mesej yang lebih mendalam apabila dikaitkan dengan keadaan hutan yang berdepan ancaman kebakaran.
Seni Tradisional Bawa Pesanan Tentang Alam
Menerusi perkongsian itu, Zwageri Generation mengajak masyarakat merenungkan hubungan antara warisan budaya dengan alam sekitar, terutama ketika kebakaran hutan mengancam kehidupan manusia serta hidupan liar.
Menurut kumpulan itu, musim buah raya mempunyai kaitan dengan kitaran semula jadi hutan kerana tempoh kering boleh mencetuskan pembungaan bagi sesetengah pokok buah tropika.
Bagaimanapun, kemarau yang berpanjangan turut meningkatkan risiko kebakaran hutan yang boleh memusnahkan pokok-pokok dan habitat haiwan liar.
Keadaan itu bukan sahaja mengancam sumber penghidupan masyarakat, malah turut memberi kesan kepada kelangsungan warisan budaya yang berkait rapat dengan alam semula jadi.

Tidak Mahu Warisan Tinggal Kenangan
Menerusi persembahan Tari Ma’alap Senggayung, anak-anak Zwageri Generation turut membawa mesej bahawa budaya dan alam semula jadi merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.
Mereka berharap tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang dapat terus diamalkan dalam persekitaran hutan yang masih terpelihara, bukannya menjadi kenangan selepas kawasan berkenaan musnah.
“Semoga bunyi senggayung tetap terdengar di tengah hutan yang hidup, bukan menjadi gema kenangan dari hutan yang telah hilang.
“Kami ingin mewarisi budaya yang hidup bersama hutan, bukan hanya cerita tentang hutan yang pernah ada,” tulisnya.
Persembahan itu memperlihatkan bagaimana seni tradisional boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang lebih besar daripada sekadar memelihara budaya dan alam sekitar.
Ketika kebakaran hutan terus berlarutan, persembahan itu seakan-akan membawa sindiran tersirat terhadap keadaan yang membiarkan hutan terus musnah, sedangkan kehidupan masyarakat setempat dan warisan mereka turut terancam.
Walaupun kapsyen tersebut tidak menyasarkan mana-mana pihak secara khusus, mesej yang dibawa mengundang persoalan tentang sejauh mana usaha melindungi hutan dilakukan agar generasi akan datang tidak hanya mewarisi cerita tentang hutan yang pernah wujud.

