Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Krisis Tenaga Cuba Makin Buruk, Penduduk Ketuk Periuk & Kuali Tanda Protes

Sofea
Krisis Tenaga Cuba
Kredit: AFP

Krisis Tenaga Cuba Makin Buruk, Penduduk Ketuk Periuk & Kuali Tanda Protes

Cuba berdepan gangguan bekalan elektrik yang semakin buruk pada Khamis apabila kerajaan negara itu memaklumkan simpanan minyak telah habis, selain tercetusnya protes jarang berlaku di sekitar ibu negara, Havana.

Memetik AFP, wilayah timur Cuba pada Khamis sekali lagi mengalami gangguan bekalan elektrik yang menjadi rutin di seluruh negara, manakala penduduk di beberapa kawasan sekitar Havana turut mengadakan protes membantah gangguan bekalan elektrik tersebut.

Menteri Tenaga, Vicente de la O Levy, berkata simpanan minyak yang dihantar oleh Rusia kini telah habis, sambil menyifatkan situasi itu sebagai amat tegang.

“Suhu terus meningkat dan kesan sekatan itu benar-benar memberi kesan besar kepada kami kerana kami masih tidak menerima bekalan bahan api,” katanya kepada televisyen kerajaan.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, sekali lagi menawarkan bantuan bernilai AS$100 juta dengan syarat ia diagihkan melalui Gereja Katolik tanpa melibatkan kerajaan Cuba.

Kredit: AFP

“Kami bersedia mendengar butiran cadangan itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan,” kata diplomat tertinggi Cuba, Bruno Rodriguez, menerusi media sosial.

Ketuk periuk dan kuali tanda protes

Seorang penduduk San Miguel del Padron, kawasan pinggir Havana, memberitahu AFP bahawa orang ramai membantah gangguan bekalan elektrik dengan mengetuk periuk dan kuali pada malam Rabu.

Beberapa protes kecil serupa turut berlaku di kawasan sekitar ibu negara bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap krisis elektrik yang semakin meruncing.

“Hidupkan lampu!” jerit penduduk di Playa, sebuah daerah di bahagian barat Havana.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, pada Rabu menyalahkan sekatan tenaga yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Cuba sebagai punca kekurangan tenaga yang serius di negara itu.

Dalam pada itu, data dikumpulkan AFP menunjukkan gangguan elektrik berpanjangan dan kekurangan penjanaan tenaga mencapai tahap rekod sejak beberapa hari lalu, dengan 65 peratus wilayah Cuba mengalami gangguan bekalan elektrik serentak pada Selasa.

Krisis semakin buruk

Krisis tenaga di Cuba semakin buruk sejak Januari lalu apabila Amerika Syarikat mengenakan sekatan minyak terhadap negara berpenduduk 9.6 juta orang itu.

Sejak itu, hanya sebuah kapal tangki dari Rusia dilaporkan tiba di Cuba yang kini berdepan kelembapan ekonomi dan kekurangan bekalan.

Gangguan elektrik melebihi 19 jam sehari dilaporkan berlaku di Havana, manakala di beberapa wilayah lain, bekalan elektrik terputus sepanjang hari.

Penjanaan elektrik Cuba bergantung kepada lapan loji termoelektrik lama, sebahagiannya telah beroperasi lebih 40 tahun yang sering mengalami kerosakan atau perlu dihentikan sementara untuk penyelenggaraan.

Rakyat Cuba telah berdepan tujuh gangguan bekalan elektrik berskala nasional sejak 2024, manakala harga bahan api turut melonjak.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sejak awal tahun berjaya menjatuhkan pemimpin berhaluan kiri Venezuela tetapi kurang berjaya dalam konflik dengan Iran turut membayangkan bahawa Cuba mungkin menjadi sasaran seterusnya dan Amerika Syarikat boleh mengambil alih pulau tersebut.