BUKIT RAJA, 11 NOVEMBER 2026 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen dalam memastikan integriti penguatkuasaan undang-undang perdagangan domestik sentiasa terpelihara menerusi pelaksanaan Program Pelupusan Ekshibit KPDN Selangor Tahun 2026 yang berlangsung di Stor Penyimpanan Ekshibit (Bukit Raja), KPDN Selangor, hari ini.
Program yang dirasmikan oleh Tuan Muhamad Hanif Bin Dato’ Asa’ari, Pengarah KPDN Selangor ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN Selangor dalam memastikan pengurusan ekshibit hasil tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mematuhi tatacara serta prosedur yang ditetapkan.
Pelaksanaan program pada tahun ini melibatkan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM3,284,830.00 (RM3.28 juta). Nilai ini mencerminkan skala tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh KPDN Selangor dalam menangani pelbagai bentuk ketidakpatuhan dan aktiviti perdagangan yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang.
Antara ekshibit yang terlibat dalam pelupusan termasuk produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, produk tembakau tanpa asap, barangan yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran, produk penjagaan diri, produk makanan dan minuman, alat ganti serta aksesori kenderaan dan barangan fesyen berjenama.

Antara nilai sitaan yang paling signifikan ialah kes melibatkan produk tembakau tanpa asap sebanyak 647 bundle dengan nilai sitaan berjumlah RM2,639,760.00. Selain itu, turut melibatkan kes produk sabun pencuci yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, dengan nilai sitaan berjumlah RM213,750.00 serta pelbagai barangan lain yang melibatkan isu pelanggaran cap dagangan dan ketidakpatuhan perundangan perdagangan.
Pelaksanaan pelupusan ini bukan sekadar proses pengurusan fizikal barangan sitaan, malah merupakan sebahagian daripada rantaian pengurusan ekshibit yang penting dalam memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti, ketelusan dan integriti.
Sehubungan itu, aspek keselamatan dan kaedah pelupusan turut diberikan perhatian melalui taklimat khas kepada pegawai yang terlibat, merangkumi prosedur keselamatan serta kaedah pelupusan yang bersesuaian seperti pemusnahan mekanikal, kitar semula sisa atau kaedah pemusnahan lain yang mengambil kira piawaian dan keperluan Jabatan Alam Sekitar.
Keberkesanan penguatkuasaan tidak hanya dinilai berdasarkan jumlah pemeriksaan, tindakan kes mahupun nilai rampasan yang direkodkan, malah turut mencerminkan kecekapan dalam menguruskan keseluruhan rantaian penguatkuasaan, termasuk aspek penyimpanan, pengendalian dan pelupusan ekshibit secara sistematik, telus serta bertanggungjawab. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti, sekali gus memperkukuh kredibiliti KPDN sebagai agensi peneraju dalam memastikan ekosistem perdagangan domestik yang berintegriti.
Selari dengan komitmen tersebut, prestasi penguatkuasaan KPDN Selangor sehingga Oktober 2026 turut memperlihatkan pelaksanaan tindakan yang menyeluruh dan berterusan menerusi pelbagai aktiviti pemantauan, pemeriksaan serta tindakan undang-undang.
Statistik penguatkuasaan KPDN Selangor sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 107,233 premis telah diperiksa di seluruh Negeri Selangor. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,239 tindakan kes di bawah pelbagai akta telah direkodkan, merangkumi 1,878 kes KOTS dan 361 kes sitaan.
Dari aspek tindakan penguatkuasaan, KPDN Selangor turut merekodkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM11,416,289.25, manakala nilai kompaun yang dikenakan berjumlah RM1,547,850.00, melibatkan 2,028 kes KOTS dan kompaun biasa. Selain itu, jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah turut mencatatkan sebanyak RM826,686.00.
Pencapaian ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen berterusan warga kerja KPDN Selangor dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, menangani ketidakpatuhan dalam aktiviti perdagangan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.

KPDN Selangor akan terus mempergiat dan memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti perdagangan yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan penyalahgunaan cap dagangan, penjualan barangan tiruan serta amalan perdagangan yang mengelirukan pengguna. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi, di samping mewujudkan ekosistem perdagangan domestik yang adil, telus dan berintegriti.
KPDN Selangor ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan melalui aktiviti perdagangan tidak berintegriti. Sehubungan itu, KPDN Selangor akan terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, meningkatkan pemantauan serta memperkemas pengurusan ekshibit sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan ekosistem perdagangan domestik kekal adil, telus, selamat dan berdaya saing, di samping menjadikan perlindungan kepentingan pengguna serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
KPDN Selangor menyeru orang ramai agar sentiasa menjadi pengguna yang bijak dan prihatin dengan menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan salah laku perdagangan, aktiviti penjualan barangan tiruan, pencatutan harga serta pelanggaran undang-undang kepenggunaan melalui saluran rasmi KPDN seperti berikut:
Whatsapp 019-848 8000
Call Centre 1-800-886-800
Emel [email protected]
Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
