Lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, Sabtu lalu selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram (kg) kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta).
Kesemua suspek dipercayai menyembunyikan dadah berkenaan di bawah pelapik kasut ketika menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum kegiatan itu terbongkar menerusi pemeriksaan kastam sejurus tiba di Jepun.
Menurut laporan Fuji News Network (FNN), pegawai kastam mula mengesyaki seorang suspek selepas mendapati kasut yang dipakainya mempunyai tapak terlalu tebal.
Pemeriksaan lanjut menemukan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut dua suspek, sebelum tiga lagi individu yang dipercayai tiba bersama mereka turut dikesan.
Tokyo Reporter yang memetik Nippon News Network (NNN) melaporkan, ketiga-tiga individu berkenaan turut menggunakan kaedah sama untuk menyembunyikan dadah.
Sementara itu, menurut TBS News DIG, setiap suspek dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain dengan 500 gram disembunyikan di bawah pelapik kasut kiri dan kanan.
Seorang suspek lelaki berusia 24 tahun mendakwa ditawarkan upah RM8,000 seorang menerusi aplikasi Telegram untuk membawa dadah berkenaan ke luar negara.
Suspek itu turut mendakwa dibekalkan sepasang kasut khas bagi tujuan menyembunyikan kokain berkenaan.
Dalam pada itu, laporan NHK menyebut empat daripada lima suspek mengaku terhadap dakwaan ketika disoal siasat, manakala seorang wanita berusia 25 tahun menafikan pembabitannya.
Wanita terbabit mendakwa tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.
Polis Metropolitan Tokyo kini menyiasat kemungkinan kumpulan berkenaan direkrut oleh sindiket jenayah yang berpangkalan di Malaysia untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.

