Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Luluskan Garis Panduan Sukan & Kokurikulum Sekolah, Berkuatkuasa 1 September Ini

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Kerajaan telah meluluskan beberapa garis panduan bagi aktiviti sukan dan kokurikulum sekolah yang akan berkuatkuasa mulai 1 September ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum sekolah secara bersemuka, termasuk latihan amali di luar kelas bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan dan Sains Sukan dalam keadaan terkawal.

“Antara garis panduan yang perlu dipatuhi adalah mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa murid yang terlibat, menggunakan bilik mandi (dan) persalinan dihadkan ikut kapasiti.

“(Selain itu) memastikan jarak fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statistik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara langsung, hari ini.

Dalam pada itu, antara aktiviti kokurikulum yang dibenarkan termasuklah aktiviti sukan (seperti) bola sepak, sukan bersentuhan (physical contact), hoki, badminton (dan sebagainya).

Jelas Ismail, prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Belia dan Sukan itu perlu dipatuhi.

“Jadi kita dapat laporan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), daripada segi psikologi kanak-kanak yang pelajar-pelajar terpaksa berada dalam kelas, makan dalam kelas, tiada aktiviti luar. Ianya memberikan kesan kepada pelajar-pelajar.

“Sebab itulah sekarang kita benarkan mereka beraktiviti di luar tapi dalam SOP yang ketat dan SOP yang lain perlulah dipatuhi,” tambah Ismail lagi.

Mengulas lanjut, satu SOP lengkap berkenaan garis panduan tersebut akan diterbitkan di laman sesawang MKN dan KPM mulai 1 September ini.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada durasi ke 12:30.

Sumber: RTM