Malaysia merekodkan 31.3 juta langganan 5G, manakala liputan internet mencapai 99.75 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara setakat September 2026.
Menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Malaysia terus memperluas liputan menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA), khususnya di kawasan yang masih kurang mendapat perkhidmatan.
Usaha tersebut bertujuan memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat kesalinghubungan digital, sekali gus mewujudkan peluang, memperkasakan komuniti dan meningkatkan taraf kehidupan.
“Di Malaysia, kami sedang berusaha gigih untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat kesalinghubungan.
“Menerusi Jalinan Digital Negara, JENDELA, kami terus memperluas liputan, khususnya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan,” ucapnya ketika pertemuan dua hala di luar acara Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) Doha, Qatar.
Susulan pencapaian itu, Malaysia kini meneliti peluasan liputan melangkaui kawasan berpenduduk untuk turut merangkumi kawasan ekonomi utama.
Antara lokasi yang diberikan perhatian ialah pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, yang memerlukan kesalinghubungan yang boleh diharap bagi menyokong perniagaan, pertumbuhan ekonomi serta daya tahan.
Malaysia turut berharap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dapat meneroka pendekatan tersebut bersama negara-negara anggota bagi memastikan pembangunan digital menjadi lebih inklusif dan mampan.
Dalam usaha memperkasakan komuniti, sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut menyediakan akses kepada kemahiran digital dan peluang keusahawanan.
NADI juga menyertai rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU pada April 2026.
