Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kanak-Kanak Autistik Hilang Ditemukan Meninggal Dunia Di Kebun Kelapa Sawit

Kanak-Kanak Autistik
Kredit: JBPM Perak Via Bernama

Kanak-Kanak Autistik Hilang Ditemukan Meninggal Dunia Di Kebun Kelapa Sawit

IPOH, 1 Julai (Bernama) -- Kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan meninggal dunia di kawasan kelapa sawit di Kampung Baru dekat Sungai Sumun, Hutan Melintang, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat daripada polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada 6.24 petang sebelum sepasukan angggota Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata ketua operasi dimaklumkan bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya apabila mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah dan pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka.

"Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh bapa mangsa di sekitar rumah serta kawasan kebun kelapa sawit berhampiran namun gagal menemui mangsa.

"Laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut telah dibuat pada 3.30 petang semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata mangsa telah ditemui oleh orang awam di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit tersebut pada 10.08 malam semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Beliau berkata mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 11 malam.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk memaklumkan mangsa merupakan orang kelainan upaya (OKU) autisme.

Kenyataan itu memaklumkan mangsa telah dijumpai oleh orang kampung kira-kira 330 meter dari rumah kanak-kanak itu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak forensik.