Bila bercakap tentang hobi, ramai sanggup meluangkan masa dan tenaga kerana menganggap aktiviti kegemaran mereka sebagai sesuatu yang penting.
Malah, ada yang sanggup mengambil risiko semata-mata untuk meneruskan aktiviti diminati, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.
Begitulah yang boleh dikatakan berlaku kepada pemandu pasukan Cadillac di Formula 1, Valtteri Bottas, yang kelihatan sangat gemar berbasikal.
Pemandu F1, Valtteri Botas Gemar Berbasikal

Menerusi satu hantaran InstaStory, Bottas telah berkongsi satu video memaparkan dirinya sedang berbasikal di sebuah jalan gelap yang sempit dan hanya diterangi cahaya daripada lampu basikalnya.
Menjengah ke akaun Strava milik pemandu terkenal itu, Bottas turut memuat naik satu hantaran dengan kapsyen berbunyi “Malaysia to Singapore Day 1”.
Mengikut laluan yang telah dilalui Bottas, pemandu itu memulakan perjalanannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLI2) pada malam Ahad.
Beliau kini berada di Port Dickson, dipercayai untuk berehat sebelum meneruskan perjalanannya.

Menurut rekod di Strava, Bottas telah melakukan kayuhan selama dua jam dengan jarak 56.60 kilometer untuk tiba ke Port Dickson.
Mengikut peta itu, laluan gelap yang dilalui Bottas itu sebenarnya kawasan ladang kelapa sawit, yang mana bagi ramai sudah tentu agak menakutkan untuk dilalui.

Menerusi ruangan komen di Strava, ramai warga maya terkejut dengan keberanian pemandu itu disamping turut memujinya kerana mempunyai kekuatan untuk mengayuh sejauh itu.




Malah, ada yang berseloroh bahawa Bottas sudah pencen dari perlumbaan F1 serta ada mencadangkan Bottas menyertai Le Tour de Langkawi.


Dalam hantaran terbarunya sekitar pukul dua pagi juga, Bottas kelihatan sudah selamat tiba di Port Dickson dan berkongsi satu foto dipercayai makan malamnya menerusi InstaStory.
Ini bukan kali pertama Bottas melakukan perkara seperti ini, namun sebelum perlumbaan baru-baru ini, pemandu itu sempat berbasikal di sekitar Selangor sejak 29 September lalu.
Malah, beliau juga sempat berbasikal di dalam Litar Antarabangsa Sepang (SIC) beberapa hari sebelum bermulanya perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia.





