Pernah ternampak kulat pada roti anda, sedangkan bahagian lain masih kelihatan elok?
Ramai mungkin memilih untuk membuang bahagian yang berkulat sahaja sebelum meneruskan makan roti tersebut kerana tidak mahu membazir.
Namun, tahukah anda tindakan itu sebenarnya tidak menjamin roti berkenaan selamat untuk dimakan?
Jumpa Kulat Pada Roti Anda? Bukan Semua Makanan Berkulat Perlu Dibuang

Menurut perkongsian Public Health Malaysia, roti yang sudah berkulat perlu dibuang keseluruhannya kerana kulat boleh merebak ke bahagian dalam makanan walaupun tidak kelihatan dengan mata kasar.
Ini kerana kulat mempunyai struktur seperti akar halus yang boleh menembusi makanan.
Roti yang mempunyai tekstur lembut dan berliang pula memudahkan kulat merebak ke bahagian lain.
Lebih membimbangkan, sesetengah jenis kulat boleh menghasilkan mikotoksin, iaitu bahan toksik yang berisiko menyebabkan masalah kesihatan jika termakan.
Tindakan terhadap makanan berkulat sebenarnya bergantung pada tekstur dan jenis makanan tersebut.
Bagi makanan lembut dan lembap seperti roti, kek, yogurt, jem, tomato, timun, buah pic serta nasi dan mi yang telah dimasak, keseluruhan makanan perlu dibuang jika terdapat tanda-tanda kulat.
Ini kerana kulat boleh merebak ke bahagian dalam makanan tanpa disedari.
Bagaimanapun, makanan keras dan padat seperti lobak merah, kubis serta capsicum masih boleh diselamatkan dalam keadaan tertentu.
Caranya adalah dengan memotong sekurang-kurangnya 2.5 sentimeter di sekeliling dan di bawah bahagian yang berkulat.
Pastikan pisau tidak menyentuh kawasan berkulat bagi mengelakkan pencemaran merebak ke bahagian lain.
Jangan Hidu Makanan Yang Berkulat
Satu lagi tabiat yang perlu dielakkan ialah menghidu roti atau makanan yang disyaki berkulat untuk memastikan sama ada ia masih elok atau sebaliknya.
Tindakan itu boleh menyebabkan spora kulat tersebar dan berisiko mengganggu sistem pernafasan.
Sebaiknya, buang makanan tersebut tanpa menghidu atau mendekatkannya ke hidung.
Cara Elak Roti Cepat Berkulat
Bagi mengurangkan risiko pembaziran, anda disarankan membeli roti mengikut keperluan dan menyimpannya dalam bekas bertutup di tempat yang sesuai.
Selain itu, lebihan makanan yang telah dimasak perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Anda juga perlu lebih peka terhadap keadaan makanan sebelum menikmatinya.
Jangan hanya bergantung pada rupa bahagian yang masih elok kerana pencemaran mungkin sudah berlaku tanpa disedari.

