Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Yang Boleh Lakukan Revolusi Di Indonesia Adalah Saya" - Prabowo

prabowo
Kredit: ANTARA

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa dirinya mampu mencetuskan revolusi di Indonesia, lapor CNBC Indonesia.

Beliau berkata perkara itu boleh direalisasikan kerana mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat, daripada pertubuhan Islam hingga petani dan nelayan.

“Yang boleh mencetuskan revolusi di Indonesia ialah Prabowo Subianto. Petani di belakang saya, nelayan di belakang saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pembukaan Tanwir serta Sambutan Ulang Tahun Ke-114 Muhammadiyah di Palu, Sulawesi Tengah semalam.

Prabowo Tegaskan Bersumpah Untuk Indonesia

Dalam ucapannya, Prabowo menegaskan bahawa beliau telah bersumpah untuk mengabdikan hidup, jiwa dan raganya kepada rakyat serta bangsa Indonesia.

Beliau mengakui tidak mahu menghabiskan usia persaraannya dengan menyaksikan masyarakat masih hidup dalam kemiskinan dan kekayaan negara terus diambil.

“Sumpah saya, hidup, jiwa dan raga saya untuk rakyat, untuk bangsa Indonesia. Pada usia persaraan saya, saya masih perlu melihat rakyat saya hidup miskin. Saya masih perlu melihat kekayaan kita terus diambil,” ujar Prabowo

Beliau turut menyentuh mengenai persoalan kepimpinan di Indonesia. Menurutnya, masih ada pemimpin yang boleh dipengaruhi melalui amalan rasuah, termasuk pegawai tinggi negara.

“Menteri dibeli, jeneral dibeli, presiden pun mahu dibeli. Saya menggelengkan kepala. Adakah ini negara saya?” katanya.

Prabowo menegaskan beliau tidak gentar menghadapi pelbagai tekanan ketika berusaha berpegang pada prinsip dan komitmennya.

Beliau malah menyentuh kemungkinan berlakunya demonstrasi hingga rusuhan sebagai reaksi terhadap pendiriannya.

“Mereka sangka saya gentar? Saya tidak akan gentar. Saya seorang leftenan, tidak mempunyai apa-apa. Sudah bersedia untuk mati, apatah lagi sekarang Muhammadiyah di belakang saya, NU, Muhammadiyah, Persis di belakang saya,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan bersama para pembantunya bertujuan memperbaiki sistem di Indonesia yang disifatkan masih mempunyai kelemahan.

Dengan itu, hasil kekayaan dan pembangunan negara diharapkan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Apa yang dilaksanakan oleh semua pembantu saya ini, apa yang kami lakukan adalah mencari jalan untuk memperbaiki sistem yang tidak betul di Indonesia supaya hasilnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Indonesia,” kata Prabowo mengakhiri ucapannya.