China mencatat satu lagi pencapaian dalam sektor penerbangan apabila pesawat komersial elektrik pertama negara itu, CE 25A, berjaya melengkapkan penerbangan ujian pertama bersama juruterbang di Binzhou, wilayah Shandong, pada Sabtu.
Pesawat yang dibangunkan oleh Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) itu membawa dua juruterbang dan seorang jurutera ujian penerbangan dalam ujian selama 57 minit 46 saat.
Daripada tempoh berkenaan, pesawat itu berada di udara selama 16 minit 38 saat dengan jarak penerbangan sejauh 60.4 kilometer.
COMAC dalam satu kenyataan berkata, pesawat berkenaan beroperasi seperti biasa dan semua keputusan ujian menepati jangkaan.
Pencapaian itu menyusul selepas CE 25A melengkapkan 19 penerbangan ujian autonomi tanpa juruterbang sepanjang proses pembangunannya, termasuk penerbangan autonomi pertama pada 2 Februari lalu.
CE 25A merupakan pesawat komersial elektrik pertama keluaran COMAC yang direka untuk membawa sehingga 19 penumpang bagi penerbangan antara bandar.
Pesawat itu mempunyai berat maksimum ketika berlepas sebanyak 10 tan metrik, kelajuan pelayaran 300 kilometer sejam serta jarak penerbangan yang dinyatakan sehingga 400 kilometer. Ketinggian pelayarannya pula mencecah 2,400 meter.
Dari segi sistem penggerak, CE 25A menggunakan teknologi kipas saluran elektrik teragih yang dipasang pada bahagian sayap pesawat.
Pesawat berkenaan dibangunkan menerusi kerjasama COMAC dengan pengeluar bateri China, Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL), Universiti Jiao Tong Shanghai serta beberapa rakan industri tempatan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Pentadbiran Penerbangan Awam China telah menerima permohonan sijil jenis bagi pesawat berkenaan.
Menurut COMAC, CE 25A dibangunkan mengikut peraturan kelayakan udara CCAR 25 China bagi pesawat kategori pengangkutan, yang turut terpakai kepada pesawat penumpang komersial bersaiz besar.
Penerimaan permohonan itu menandakan satu perkembangan dalam proses pensijilan pesawat berkenaan yang perlu diselesaikan sebelum ia dibenarkan memasuki perkhidmatan komersial.

