Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Imigresen Perketat Penguatkuasaan Di Janda Baik, Majikan Turut Jadi Sasaran

JANDA
Kredit: Bernama

Peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, pertanian dan perniagaan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada kehadiran warga asing di Janda Baik, Pahang, sekali gus membuka ruang kepada kegiatan penggajian serta penempatan secara tidak sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sektor pelancongan yang merangkumi resort, chalet dan premis penginapan antara aktiviti ekonomi setempat yang berpotensi membuka ruang kepada penggajian warga asing tanpa mematuhi undang-undang.

Menurutnya, keadaan itu mendorong Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di kawasan berkenaan.

“JIM Pahang telah melaksanakan operasi pada 24 April lalu melibatkan pemeriksaan di lapan lokasi.

“Hasil operasi tersebut, seramai 82 individu diperiksa dan 38 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zakaria berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan melalui pemantauan, risikan dan pemeriksaan yang dipertingkatkan berdasarkan maklumat serta aduan diterima.

Jelasnya, tindakan undang-undang bukan sahaja menyasarkan pendatang asing tanpa izin (PATI), malah turut melibatkan majikan, pemilik atau pengendali premis serta pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis di bawah kawalan mereka.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 55B dan Seksyen 55E mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, JIM turut memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa berkaitan menerusi perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Zakaria turut menghargai kerjasama penduduk setempat dan persatuan penduduk yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan disyaki melanggar undang-undang imigresen.

Menurutnya, maklumat yang tepat dapat membantu pihak imigresen membuat pengesahan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mendedahkan orang awam kepada risiko.