Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Kita Akan Baik-Baik Saja Ayah” Diberhentikan Kerja, Nota Kecil Anak Buat Bapa Menangis

Nota Anak Buat Bapa Menangis
Kredit: Threads @rahaizuddin
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Kehilangan kerja merupakan antara perkara yang paling ditakuti ramai, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu mempunyai keluarga untuk disara.

Dalam sekelip mata, rutin kehidupan boleh berubah apabila sumber pendapatan terputus dan pelbagai komitmen masih perlu dipenuhi setiap bulan.

Bagaimanapun, sokongan daripada keluarga sedikit sebanyak mampu membantu seseorang melalui rasa sedih dan kecewa selepas kehilangan pekerjaan.

Nota Kecil Daripada Anak Buat Bapa Menangis

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @rahaizuddin, yang baru sahaja kehilangan pekerjaan beberapa hari lalu selepas diberhentikan akibat pengurangan tenaga kerja.

Menerusi perkongsiannya, @rahaizuddin memuat naik foto nota dan hadiah kecil daripada isteri dan anak-anaknya.

Pada nota itu tertulis ucapan dengan tulisan anaknya yang berkata semuanya akan baik-baik sahaja disertakan dengan lukisan kecil keluarga mereka.

“Tak apa ayah. Kita akan baik-baik sahaja, Inshallah. Kami sayang ayah,” tulis anaknya di nota berkenaan.

Melihat nota kecil itu, air mata @rahaizuddin yang ditahan sejak menerima berita pemberhentian kerja akhirnya mengalir juga.

“Hari ini Town Hall Umum kena berhentikan kerja. Ramai nangis dalam dewan tapi boleh tahan lagi.

“Balik rumah anak hulur ni, terus meleleh sebak lalu. Terima kasih isteri dan anak-anak sebagai sokongan kuat,” kata @rahaizuddin di ruangan kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya yang meninggalkan kata-kata semangat kepada @rahaizuddin serta mendoakannya.

Bercakap kepada SK, @rahaizuddin kini sedang mencari pekerjaan baharu di samping mengambil masa ini untuk meluangkan masa masa bersama anak-anak sementara menunggu langkah seterusnya dalam kerjayanya.

“Sekarang saya aktif cari kerja lain dan luang masa dengan anak-anak,” ujarnya.

Bercakap tentang pekerjaannya sebelum ini, @rahaizuddin bekerja di kilang CJ Bio Malaysia di Terengganu sebagai Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan (Fermentasi) sejak 2018.

Menurut @rahaizuddin, CJ Bio Malaysia akan ditutup pada 15 Oktober ini susulan tekanan ekonomi yang semakin meningkat, selain berdepan persaingan sengit daripada produk lain.

@rahaizuddin turut memaklumkan hampir kesemua pekerja telah diberhentikan, manakala hanya sebahagian kecil masih kekal bagi menyelesaikan urusan berkaitan aset syarikat.

Namun, nasib mereka juga tidak jauh berbeza kerana mereka dijangka turut kehilangan pekerjaan sebaik sahaja segala urusan berkenaan selesai.

Bagaimanapun, bagi @rahaizuddin, CJ Bio bukan sekadar tempatnya mencari rezeki, malah beliau melihat syarikat itu mempunyai nilai besar kepada Malaysia.

“CJ Bio Malaysia pelabur sektor biotech yang paling besar dekat Malaysia. Nombor satu dalam dunia di bidang fermentasi.

“Jarang teknologi ni ada kat Malaysia. Peluang pekerjaan (biotech) pun terhad. Sebab itu saya sangat terkesan,” luahnya.

Sumber:Threads
Intipati
  • @rahaizuddin berkongsi nota anaknya selepas diberhentikan kerja akibat pengurangan tenaga kerja.
  • Nota itu menyatakan keluarga mereka akan baik-baik sahaja dan menyayanginya.
  • Beliau kini sedang mencari kerja baharu sambil meluangkan masa bersama anak-anak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan