Sebagai ibu bapa, apa sahaja yang berkaitan dengan anak pasti akan diusahakan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keperluan dan masa depan mereka.
Walau apa pun keadaan anak, kasih sayang ibu bapa tidak pernah berbelah bahagi dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anak terus mendapat kehidupan yang baik.
Begitulah kisah seorang ayah dari Korea Selatan yang menghabiskan sisa hidupnya memastikan anak lelakinya yang menghidap autisme mempunyai tempat tinggal yang sesuai.
Bapa Berjaya Cari Rumah Untuk Anak Autisme Sebelum Meninggal Dunia

Kisah dan cerita unik Jeon Gyeong-cheol, 64, itu menjadi viral selepas beliau mendokumentasikan pencarian kediaman baru untuk anaknya itu menerusi buku berjudul “Annyeong, Peter Pan”.
Gyeong-cheol dilapor meninggal dunia pada 5 September lalu dan berita pemergiannya diumumkan oleh Ketua Forum Pakar Sokongan Perkembangan, Jeong Yu-jin sehari kemudian.
Menurutnya, urusan pengebumian Jeon akan dijalankan tanpa upacara penghormatan terakhir seperti kebiasaan atas permintaannya sendiri.
“Annyeong, Peter Pan” angkat kisah pengorbanan seroang ayah untuk anak
Menurut The Korean Herald, Gyeong-cheol menghabiskan sebahagian hidup beliau membesarkan anak lelakinya yang kini berusia 27 tahun.
Pada April tahun lepas, Gyeong-cheol menerima khabar duka yang begitu ditakuti ramai apabila dia disahkan menghidap kanser tahap empat.
Masalah kesihatan yang dialami dan kebimbangan tentang masa depan anaknya kemudian mendorong Gyeong-cheol menghabiskan sisa hidup membuat persiapan agar kebajikan anaknya terus terjamin selepas pemergiannya nanti.
Jeon menghubungi hampir 1,000 pusat penjagaan di seluruh Korea Selatan, namun hanya beberapa pusat berkenaan yang bersedia menerima anaknya.
Tidak berputus asa, Gyeong-cheol memutuskan untuk berkongsi kisah pencariannya menerusi Brunch, sebuah platform penerbitan kandungan di Korea Selatan.
Kisah itu mendapat perhatian ramai pengguna platform berkenaan yang seterusnya membawa Gyeong-cheol muncul di kaca televisyen menerusi beberapa rancangan termasuk “True Story Expedition” di MBC dan “You Quiz on the Block” di tvN.
“Saya mahu memberitahu anak saya supaya lupakan ayahnya dan hidup bahagia, tetapi saya tak mahu dia lupakan saya sepenuhnya.
“Saya harap dia masih ingat saya dengan sedikit rasa kerinduan, sebagai lelaki tua yang pernah memandangnya dengan penuh kasih sayang,” katanya ketika muncul dalam rancangan “You Quiz on the Block”.
Selepas kisahnya mendapat perhatian yang lebih luas, Gyeong-cheol mengambil keputusan untuk membukukan perjalannya dalam sebuah buku berjudul “Annyeong, Peter Pan” dan diterbitkan pada Jun lalu.
Pembaca yang tersentuh dengan cerita dalam buku berkenaan kemudian melancarkan kutipan sumbangan dan berjaya mengumpul kira-kira 80 juta won (RM220,000) untuk membantu Gyeong-cheol dan anaknya.
Dengan sokongan yang diterima dari seluruh Korea Selatan, anak Gyeong-cheol akhirnya berjaya dipindahkan ke sebuah perkampungan komuniti khas untuk individu yang mempunyai masalah perkembangan yang serius.

Jasa Gyeong-cheoltidak terhenti setakat membantu anaknya sahaja, malah dia turut berusaha membantu keluarga lain yang berdepan situasi sama.
Menurut The Korean Herald lagi, Gyeong-cheol turut berusaha menubuhkan sebuah yayasan kebajikan untuk golongan dewasa dengan autisme teruk dan masalah perkembangan serius seperti yang dialami anaknya.
Pada 26 Ogos iaitu beberapa hari sebelum pemergiannya, Gyeong-cheol mengumumkan penubuhan jawatankuasa persediaan bagi merealisasikan yayasan tersebut.
Jawatankuasa yang dibentuk dan anggotanya dijangka meneruskan usaha yang dimulakan Gyeong-cheol, termasuk membincangkan langkah seterusnya untuk menubuhkan yayasan berkenaan.

