Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Berdepan Kanser Payudara, Jururawat Tetap Luang Waktu Rehat Jaga Suami Hidap MND

Jururawat Jaga Suami MND
Kredit: Threads @sobahjazam
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Dalam kehidupan berumah tangga, pasangan pastinya akan cuba melakukan yang terbaik untuk menjaga dan membantu satu sama lain.

Tidak kira sekecil atau sebesar bantuan yang diperlukan, setiap pasangan tentu mahu memberikan apa yang termampu demi memastikan insan tersayang berada dalam keadaan baik.

Begitulah yang dilakukan seorang jururawat apabila dia sanggup menggunakan waktu rehatnya untuk membantu suami makan.

Baru-baru ini, perkongsian @sobahjazam di Threads mengundang sebak ramai selepas kisah tersebut dikongsikan kepada umum.

Dalam hantarannya, @sobahjazam berkongsi satu video yang memaparkan dirinya masih mengenakan uniform jururawat sambil menyuapkan makan tengah hari kepada suaminya.

Jururawat Luang Masa Rehat Jaga Suami Yang Hidap MND

Menurut @sobahjazam, suaminya mengalami penyakit Motor Neuron (MND) dan setiap waktu rehat, dia akan pulang ke rumah untuk membantu suaminya memenuhi keperluan Aktiviti Kehidupan Seharian (ADL).

Lebih menyebakkan, @sobahjazam berkata dia tidak tahu bila keadaan suaminya akan merosot, jadi dia mahu menggunakan setiap kesempatan untuk terus berbakti kepadanya.

“Setiap waktu rehat, saya akan balik untuk bagi awak makan dan penuhi ADL awak bie. Sebab saya tak tahu bila progress awak makin merosot.

“Selagi awak ada selera dan boleh mengunyah, saya akan jadi tangan dan kaki awak.

“Harapan saya progress Motor Neuron Disease awak makin lambat ya. Teruskan bertarung ye bie. Sayang awak sampai bila-bila,” tulisnya.

Apa yang lebih menyentuh hati, wanita tersebut sebenarnya turut berdepan dengan beberapa masalah kesihatan sendiri.

Menjengah ke media sosial @sobahjazam, wanita berkenaan diketahui menghidap kanser payudara selain mengalami slip disc dan Kecelaruan Episod Kemurungan Major (MDD).

Namun begitu, keadaan tersebut tidak menghalangnya untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai jururawat serta menjaga suaminya sebaik mungkin.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa sebak, di samping turut mendoakan agar segala urusan pasangan itu dipermudahkan.

Sementara itu, dalam hantaran berbeza, @sobahjazam mengucapkan terima kasih atas doa yang diberikan orang ramai.

Pada masa yang sama, @sobahjazam turut meminta orang ramai menyimpan setiap memori bersama insan tersayang kerana tiada siapa tahu siapa yang akan pergi terlebih dahulu.

“Allahuakbar, Ya Allah. Terima kasih kerana hadirkan orang yang baik untukku. Terima kasih semua atas doa kalian. Semoga doa anda semua berbalik pada semua juga.

“Tolong simpan semua memori dengan insan yang kita sayang. Saya tak tahu sama ada saya atau suami yang pergi dulu.

“Jadi sementara Allah bagi peluang pada saya, saya nak simpan semua memori kat sini. Terima kasih atas bantuan anda semua,” katanya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Seorang jururawat pulang ketika waktu rehat untuk membantu suaminya yang menghidap MND.
  • @sobahjazam berkata dia mahu berbakti selagi suaminya masih berselera dan boleh mengunyah.
  • Wanita itu turut diketahui menghidap kanser payudara, slip disc dan MDD.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan