Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya amalan tatakelola yang baik terus dipertahankan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi membendung kegiatan pencerobohan tanah.
Beliau berkata, sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
Anwar berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83, hari ini.
“Saya tegaskan bahawa amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
“Justeru, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditangani dengan segera supaya maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, dalam mendepani kesan perubahan iklim, pengurusan dan urus tadbir tanah tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
Katanya, pengurusan tanah perlu dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar.
“Pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap inisiatif pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat terbanyak,” ujarnya.


