Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Keralam, V D Satheesan hari ini membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan negeri di selatan India itu.
Perbincangan itu berlangsung ketika Satheesan mengadakan kunjungan hormat terhadap Anwar di Calicut, sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.
Pertemuan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada lawatan sulung Anwar ke Keralam sebagai Perdana Menteri.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan serta sektor bernilai tinggi yang lain.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh sektor pelancongan dan perniagaan, selain meningkatkan pertukaran pengalaman antara rakyat Malaysia dan Keralam.
Usaha itu dilihat penting dalam mempererat hubungan dua hala, khususnya menerusi peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Dalam pada itu, Anwar turut mengundang Satheesan untuk melakukan lawatan ke Malaysia sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama serta pertukaran dua hala antara kedua-dua pihak.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja Anwar ke India yang turut merangkumi pertemuan bersama komuniti perniagaan Keralam serta pihak berkepentingan utama lain.


