Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe mendedahkan dirinya hampir menyertai Liverpool pada 2016, namun menolak peluang tersebut meskipun ibunya begitu mengagumi kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Penyerang Perancis berusia 27 tahun itu berkata, Liverpool pernah berusaha mendapatkan khidmatnya ketika beliau masih beraksi bersama Monaco dalam saingan Ligue 1.
Malah, bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan menyediakan jet peribadi serta layanan istimewa kepada Mbappe dan keluarganya sebagai sebahagian daripada usaha membawa pemain itu ke Anfield.
Bagaimanapun, Mbappe akhirnya memilih untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) kerana mahu membina nama di tanah air sendiri sebelum berhijrah ke luar negara.
Dalam temu bual bersama The Athletic, Mbappe mengakui ibunya merupakan peminat tegar Klopp dan berharap beliau dapat menyarung jersi Liverpool.
“Saya hampir menyertai Liverpool. Destinasi pilihan ibu saya ialah Liverpool. Dia mahu saya pergi ke sana.
“Tetapi saya tidak mendengar nasihatnya kerana mahu bermain di bandar saya sendiri, Paris. Saya tidak mahu meninggalkan negara saya sebelum berjaya membina nama.
“Namun, ibu saya sentiasa berkata, ‘Liverpool, kamu akan bermain di Anfield. Ia pasti menjadi pengalaman yang luar biasa buat kamu’,” katanya.
Ibu Mbappe ‘Jatuh Cinta’ Dengan Anfield
Menurut Mbappe, ibunya turut berkunjung ke Liverpool sebagai langkah awal dalam proses rundingan perpindahannya.
Sepanjang lawatan tersebut, ibunya berpeluang melihat sendiri stadium Anfield, bertemu wakil kelab dan merasai suasana perlawanan di gelanggang keramat Liverpool itu.
“Ibu saya pergi ke bandar tersebut, melawat stadium dan bertemu orang di sana.
“Dia berkata, Liverpool sebuah kelab yang hebat. Semua orang sangat baik, suasananya seperti sebuah keluarga dan ia merupakan kelab yang besar.
“Dia pergi ke Anfield dan terus jatuh cinta dengan stadium itu. Dia juga menonton beberapa perlawanan seorang diri untuk merasai suasananya kerana mahu membayangkan saya bermain di sana,” ujarnya.
Klopp Sediakan Jet Peribadi Untuk Pikat Mbappe
Sementara itu, Klopp turut berkongsi kisah di sebalik usaha Liverpool mendapatkan Mbappe ketika menjadi pengulas Magenta TV sempena Piala Dunia 2026.
Menurut bekas pengendali The Reds itu, Liverpool menyediakan sebuah jet peribadi untuk membawa Mbappe bersama keluarganya dari Blackpool ke Nice, Perancis, bagi mengadakan rundingan secara tertutup.
“Kami benar-benar berusaha sedaya upaya. Kemudian kami terbang berpusing-pusing, berbincang dengan keluarganya dan menikmati makanan yang enak,” katanya.
Jelas Klopp, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan pertemuan mereka daripada dikesan pihak luar ketika rundingan perpindahan sedang berlangsung.
Bagaimanapun, segala usaha Liverpool tidak membuahkan hasil apabila Mbappe akhirnya membuat keputusan untuk menyertai PSG.
“Kami terbang berpusing-pusing. Ia memang hebat. Kemudian dia pergi ke Paris,” kata Klopp.
Mengimbas kembali kisah berkenaan, Mbappe menyifatkan pengalaman rundingan bersama Liverpool itu sebagai satu kenangan yang melucukan.
“Ia satu kisah yang lucu,” katanya.

