Detik cemas apabila rumah dinaiki air secara mendadak ketika ibu bapa keluar bekerja pastinya menjadi pengalaman sukar buat sebuah keluarga di Kampung Melayu Subang.
Bagaimanapun, rasa syukur dizahirkan seorang penduduk apabila anak-anaknya berjaya diselamatkan hasil bantuan jiran dan sahabat yang tampil menghulurkan pertolongan ketika kejadian banjir semalam.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemilik akaun @Nayyarra_diem meluahkan rasa terima kasih kepada individu yang membantu menyelamatkan anak-anaknya ketika kediaman mereka mula ditenggelami air.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku, anak-anaknya berada di rumah, manakala dia bersama suami masing-masing keluar bekerja.
Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila air naik dengan begitu cepat memandangkan rumah mereka terletak berhampiran sungai.
“Masa kejadian air naik, anak-anak ada di rumah. Kami keluar bekerja. Air naik dengan cepat, rumah tepi sungai. Hanya Allah saja harapan kami,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jiran serta sahabat yang membantu memastikan anak-anaknya berada dalam keadaan selamat.
Perkongsian berkenaan mengundang perhatian pengguna media sosial yang turut menzahirkan rasa simpati serta menitipkan doa buat keluarga dan penduduk lain yang terjejas akibat banjir.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna turut berkongsi doa agar segala urusan mangsa banjir dipermudahkan meskipun air mula surut.
“Semalam ramai yang diuji dengan banjir. Hari ini mungkin air mula surut, tetapi kesedihan dan kepenatan mereka belum tentu reda.
“Ya Allah, permudahkan urusan semua mangsa banjir. Semoga ada sinar bahagia selepas ujian ini,” kata azraisjamalproperty.

