Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemilik Liverpool Mahu Beli Pasukan F1 Dengan Nilai Lebih RM10 Bilion

Liverpool Mahu Beli Pasukan F1
Kredit: AFP

Pemilik kelab bola sepak Liverpool, Fenway Sports Group (FSG), dilaporkan mengadakan perbincangan untuk membeli pegangan majoriti pasukan Formula Satu (F1), Cadillac.

Iklan

Cadangan pengambilalihan itu dianggarkan melebihi £2 bilion (RM10.6 bilion), ketika pemilik bersama Cadillac, Mark Walter, mula melepaskan beberapa aset sukannya.

Cadillac menyertai saingan F1 tahun ini menerusi kerjasama antara General Motors (GM) dan TWG Global milik Walter.

Sebelum ini, TWG Global menjual pegangan kawalan dalam pasukan bola keranjang NBA, Los Angeles Lakers, serta 13 peratus kepentingannya dalam kelab bola sepak Chelsea.

Pemilik Liverpool Mahu Beli Pasukan F1 Cadillac

Syarikat itu juga dilaporkan sedang mempertimbangkan penjualan Los Angeles Sparks, sebuah pasukan dalam Liga Bola Keranjang Wanita Kebangsaan (WNBA).

Perkembangan tersebut berlaku ketika Walter berdepan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) berhubung dakwaan penipuan pengurusan dana syarikat insurans miliknya.

Bagaimanapun, TWG menafikan dakwaan berkenaan dengan menegaskan bahawa “tiada sebarang penipuan berlaku”.

Menurut The Guardian, TWG sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berminat untuk membeli Cadillac, termasuk FSG, meskipun menafikan penjualan akan berlaku dalam masa terdekat.

Selain Liverpool, FSG turut memiliki pegangan majoriti dalam pasukan besbol Boston Red Sox dan pasukan hoki ais Pittsburgh Penguins.

Sumber yang mengetahui perancangan FSG berkata, syarikat itu sedang mencari peluang pelaburan sukan lain selepas menjual 38 peratus kepentingannya dalam Liverpool pada Ogos lalu.

Penjualan itu melibatkan sebuah konsortium yang turut disertai pengasas Amazon, Jeff Bezos dan pengasas bersama Facebook, Eduardo Saverin.

Konsortium berkenaan juga memperoleh pilihan untuk mengambil alih keseluruhan Liverpool sebelum Ogos 2027.

Sekiranya FSG meneruskan pembelian pegangan dalam Cadillac, langkah itu berpotensi memberi kesan terhadap kedudukannya sebagai pemilik Liverpool.

Kelab berkenaan kini dianggarkan bernilai £5.5 bilion (RM29.2 bilion), berbanding harga £300 juta (RM1.6 bilion) yang dibayar FSG ketika mengambil alihnya pada 2010.

FSG juga mempunyai pengalaman dalam sukan permotoran menerusi pemilikan 50 peratus saham pasukan NASCAR, RFK Racing.

Minat terhadap F1 dipercayai didorong pertumbuhan pesat sukan itu sepanjang sedekad lalu, khususnya di pasaran Amerika Syarikat.

Sejak Liberty Media mengambil alih F1 pada 2017, pendapatan tahunannya meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$4 bilion (RM16.8 bilion).

Sementara itu, Sportico sebelum ini melaporkan Walter meletakkan nilai pegangan sahamnya dalam Cadillac sekitar £2.24 bilion (RM11.9 bilion).

Untuk rekod, Cadillac kini berada di kedudukan tercorot kejuaraan pengeluar pada musim sulungnya dalam F1 dan masih belum mengutip sebarang mata.

FSG bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perancangan pelaburannya dalam pasukan berkenaan.

Intipati
  • FSG dilaporkan berbincang membeli pegangan majoriti Cadillac bernilai lebih RM10.6 bilion.
  • TWG Global menafikan penjualan Cadillac akan berlaku dalam masa terdekat, menurut laporan.
  • FSG turut memiliki Boston Red Sox, Pittsburgh Penguins dan separuh saham pasukan NASCAR RFK Racing.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan