Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

HSN 2026 Pacu Budaya Sukan Digital Dan AI Ke Arah Malaysia Negara Bersukan Menjelang 2030

HSN 2026
YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan bersama barisan kepimpinan tertinggi KBS dan JBSN telah menyempurnakan pelepasan acara larian ikonik Circuit Dash KBS X SIC Run 2.0 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026. Kredit: KBS

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 seterusnya meluncurkan Pelan Industri Sukan Negara (PISN) bertempat di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor hari ini selepas terpaksa ditangguhkan pada 10 Oktober lepas berikutan situasi jerebu yang melanda negara.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan; YBhg. Tan Sri Dr. Shamsul bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

Hujan bukan penghalang apabila ribuan peserta tampil ceria dan penuh bersemangat menyahut cabaran larian Circuit Dash KBS X SIC Run 2.0 di Litar Antarabangsa Sepang sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026. Kredit: KBS

Sejak 2015, HSN disambut setiap tahun pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober bagi memupuk budaya hidup aktif dan bersukan dalam kalangan masyarakat seterusnya menyokong hasrat menjadikan Malaysia sebuah “Negara Bersukan” menjelang tahun 2030. HSN turut menjadi platform untuk mengeratkan perpaduan, mengiktiraf penggiat sukan akar umbi serta merancakkan pembangunan industri sukan negara dengan sasaran penglibatan seramai 5.3 juta orang di seluruh negara.

Kredit: KBS

Tema HSN pada tahun ini adalah “Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)” yang mana telah dipilih bagi meningkatkan kesedaran berhubung impak teknologi digital dan AI terhadap sukan dan rekreasi. Bagi edisi tahun ini, sambutan HSN peringkat kebangsaan berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 27 hingga 28 November 2026.

Kredit: KBS

Antara pengisian aktiviti yang berlangsung adalah acara larian ikonik Circuit Dash KBS X SIC Run 2.0, Neon Aerobik, Pound Fitness HSN 2.0, Pameran dan Jualan Produk Rakan Strategik dan Industri Sukan dan banyak lagi.

Merujuk kepada PISN pula, ia merupakan dasar strategik KBS untuk memperkukuh ekosistem industri sukan Malaysia dengan menjadikan sukan bukan sahaja sebagai medium pembangunan modal insan dan perpaduan nasional, tetapi juga sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara berteraskan empat (4) bidang utama iaitu:

  1. Tadbir Urus

  2. Keusahawanan dan Pengkomersialan

  3. Industri Sukan Berasaskan Inovasi

  4. Industri Sukan yang Selari dengan Agenda Pembangunan Mampan

KBS berharap penganjuran HSN terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan sukan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Sekiranya memerlukan maklumat lanjut mengenai penganjuran HSN, sila hubungi urus setia di talian 03-8871 3166/ 3719/ 3183 atau e-mel [email protected]. Selain itu, maklumat juga boleh diakses menerusi laman portal rasmi harisukannegara.my.

Intipati
  • Anwar Ibrahim merasmikan HSN 2026 dan meluncurkan PISN di Litar Antarabangsa Sepang.
  • Tema tahun ini menumpukan teknologi digital dan AI dalam sukan serta rekreasi.
  • PISN memberi fokus kepada tadbir urus, keusahawanan, inovasi dan pembangunan mampan industri sukan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan