Delta Electronics memperkukuh kerjasama dengan Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan (CDE), Universiti Nasional Singapura (NUS), bagi membangunkan teknologi pusat data kecerdasan buatan (AI) yang lebih cekap tenaga dan sesuai dengan keadaan iklim tropika.
Kerjasama itu dimeterai menerusi penyertaan Delta dalam Konsortium Sustainable Tropical Data Centre Testbed Fasa 2.0 (STDCT 2.0), sempena Delta SEAO Future Industry Summit 2026 di sini pada 30 Oktober.
Delta dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan membekalkan pusat data AI berasaskan kontena serta peralatan berkaitan kepada NUS CDE bagi menyokong penyelidikan dan pengujian teknologi pusat data untuk persekitaran tropika.
Inisiatif itu menggabungkan kepakaran Delta dalam sistem kuasa, penyejukan dan infrastruktur pusat data dengan keupayaan penyelidikan NUS CDE dalam reka bentuk serta pengujian pusat data tropika.
Pengarah Program STDCT 2.0 yang juga Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal NUS CDE, Profesor Lee Poh Seng berkata perkembangan AI membawa perubahan besar kepada reka bentuk pusat data, khususnya dari segi kepadatan kuasa dan beban haba yang lebih tinggi.
Menurutnya, perubahan itu meningkatkan keperluan terhadap sistem bekalan kuasa, penyejukan dan kecekapan infrastruktur.
“STDCT 2.0 direka untuk merapatkan jurang antara inovasi dengan pelaksanaan sebenar melalui penyediaan persekitaran operasi yang membolehkan teknologi generasi baharu diintegrasikan, diuji dan disahkan dalam keadaan tropika.
“Matlamat kami ialah menghasilkan penyelesaian dan bukti yang dapat mempercepat penggunaan infrastruktur AI lebih lestari di Singapura serta rantau yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan itu.
Lee berkata kerjasama tersebut turut membolehkan teknologi dinilai pada peringkat sistem bagi menunjukkan peningkatan yang boleh diukur dalam kecekapan tenaga dan air, kebolehpercayaan serta daya tahan terhadap perubahan iklim.
Sidang kemuncak tahunan Delta bagi Asia Tenggara dan Oceania itu diadakan buat kali pertama di Singapura selepas tujuh edisi berturut-turut di Thailand.
Program di Pan Pacific Orchard berkenaan menghimpunkan lebih 200 wakil kerajaan, eksekutif industri, ahli akademik dan pengamal media untuk membincangkan pembangunan infrastruktur digital serta tenaga lestari bagi menyokong pertumbuhan berasaskan AI.
Presiden Delta Electronics Asia Tenggara dan Oceania, Jason Yuan berkata keperluan infrastruktur serantau berubah dengan pantas susulan perkembangan AI dan elektrifikasi.
Menurutnya, pengalaman Delta dalam pengurusan kuasa dan haba membolehkan syarikat itu menggabungkan keupayaan dalam bidang kuasa, penyejukan, automasi serta pengurusan tenaga.
“Kekuatan kami terletak pada keupayaan menggabungkan bidang ini bagi membantu membina infrastruktur yang bersedia untuk masa hadapan, boleh dipercayai, boleh diperluas, cekap dan mampu disesuaikan dengan keperluan rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Jenama Delta, Shan-Shan Guo berkata peralihan tenaga penting dalam menangani perubahan iklim, manakala pertumbuhan elektrifikasi dan infrastruktur AI meningkatkan keperluan terhadap sistem kuasa yang berdaya tahan serta cekap tenaga.
Beliau berkata Delta turut mengetengahkan penyelesaian mikrogrid, khidmat perundingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta usaha pemulihan terumbu karang sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestariannya.
Menurut kajian IDC yang ditempah Delta, pengendali pusat data Asia Tenggara yang ditinjau melaporkan pertumbuhan permintaan kuasa antara 26 hingga 50 peratus tahun ke tahun, berbanding 11 hingga 20 peratus di Amerika Syarikat dan Eropah.
Kajian sama mendapati 60 peratus pengendali yang ditinjau di Asia Tenggara sedang menggunakan, merancang atau menilai teknologi penyejukan cecair secara langsung, iaitu kadar tertinggi antara tiga rantau yang dikaji.
Program sidang kemuncak itu turut merangkumi ucaptama serta dua sesi perbincangan panel mengenai kesiapsiagaan infrastruktur tenaga untuk pusat data dan peranan automasi industri serta bangunan dalam pembuatan lestari.
Penganjurannya menyusuli pembukaan pejabat baharu Delta di Johor Bahru dan forum Solutions Day di Kuala Lumpur pada Julai, sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu memperluas penglibatan di Asia Tenggara.

