Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nvidia Dilapor Hentikan Penghantaran Pelayan AI Ke Empat Negara Asia Tenggara Termasuk Malaysia

Nvidia
Kredit: AFP

Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Nvidia tidak membenarkan penghantaran tempahan pelayan komputer yang dilengkapi cip kecerdasan buatan (AI) keluarannya ke empat negara Asia Tenggara, lapor AFP.

Menurut laporan Financial Times, Nvidia telah mengarahkan rakan kongsi pengeluarannya supaya menghentikan penghantaran pelayan komputer kepada pembeli di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Laporan itu menyusul selepas Washington memperketatkan kawalan eksport terhadap komponen sensitif berkenaan susulan skandal pengintipan yang melanda Nvidia, sehingga menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang telah lama menerajui syarikat itu, Jensen Huang, disingkirkan sebelum dilantik semula pada Ahad.

Kredit: AFP

Atas alasan kebimbangan terhadap keselamatan negara, AS sejak 2022 telah mengehadkan eksport cip canggih keluaran Nvidia kepada pesaing teknologinya, China.

Cip yang menerajui industri itu digunakan untuk melatih dan menjalankan sistem kecerdasan buatan (AI).

Minggu lalu, Washington mengambil langkah untuk menutup kelompongan dalam kawalan eksport berkenaan bagi membanteras penyeludupan cip, selain mengekang pasaran kelabu berskala besar yang melibatkan syarikat-syarikat China menyewa kapasiti pengkomputeran daripada pusat data di negara ketiga, khususnya di Asia Tenggara.

Financial Times, yang memetik tiga individu yang mengetahui perkara berkenaan, berkata masih belum jelas sama ada penghentian penghantaran itu bersifat sementara.

Dua gergasi teknologi AS, Dell dan Supermicro, yang mengintegrasikan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia ke dalam pelayan komputer untuk pusat data, dinamakan sebagai antara rakan kongsi yang terjejas.

Menurut Financial Times, antara pembeli yang terjejas termasuk syarikat pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura, Aolani, yang merancang untuk menyediakan akses kepada perkakasan Nvidia kepada ByteDance, syarikat China yang memiliki TikTok, menerusi perjanjian pajakan.

Sementara itu, seorang eksekutif syarikat penyedia perkhidmatan awan memberitahu akhbar itu bahawa peraturan baharu Washington telah mencetuskan kekacauan besar di rantau berkenaan ketika tempoh 90 hari diberikan untuk memohon lesen yang kini diwajibkan.

Terdahulu, skandal Nvidia tercetus susulan laporan mengenai dakwaan hubungan sulit Huang dengan bekas eksekutif Megaspeed di Singapura, Alice Huang, yang sedang disiasat berhubung dakwaan pemindahan cip Nvidia ke China dengan memintas peraturan AS.

Alice Huang, yang tidak mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Jensen Huang, dilaporkan turut disyaki oleh beberapa pegawai AS menjalankan kegiatan pengintipan untuk Beijing.