Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

UTM Kekal Dalam 25 Universiti Terbaik Asia, Raih Kedudukan Keenam Terbaik Asia Tenggara

utm kekal universiti
Kredit: UTM

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi pendidikan tinggi terkemuka apabila berjaya mengekalkan tempat ke-25 dalam QS World University Rankings: Asia 2027.

Lebih membanggakan, UTM turut menduduki tangga keenam terbaik di Asia Tenggara menerusi penarafan berkenaan, sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 25 universiti terbaik di Asia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Universiti Teknologi Malaysia, pencapaian itu menyaksikan skor keseluruhan universiti berkenaan meningkat kepada 92.4, selain mencatatkan peningkatan dalam sembilan daripada 11 petunjuk penilaian yang digunakan oleh QS.

UTM Kekal Dalam 25 Universiti Terbaik Asia, Raih Markah Sempurna Dalam Tiga Petunjuk

Antara pencapaian paling membanggakan UTM adalah apabila berjaya memperoleh markah sempurna 100 bagi tiga petunjuk utama, iaitu Pelajar Antarabangsa, Pelajar Pertukaran Masuk dan Pelajar Pertukaran Keluar.

Selain itu, universiti berkenaan turut mencatatkan markah melebihi 97 bagi empat lagi petunjuk, termasuk Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (99.8), Staf dengan PhD (99.1), Reputasi Akademik (98.3) dan Reputasi Majikan (97.1).

Malah, reputasi akademik UTM turut menunjukkan peningkatan daripada 97.4 kepada 98.3, manakala reputasi majikan mencatatkan skor 97.1.

Kedua-dua petunjuk berkenaan menyumbang sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan skor penilaian QS.

Dalam aspek penyelidikan pula, UTM merekodkan peningkatan skor bagi Kertas Setiap Fakulti daripada 69.9 kepada 75.6, manakala Petikan Setiap Kertas meningkat daripada 60.3 kepada 64.2.

Perkukuh Jaringan Antarabangsa, Fokus Penyelidikan Berimpak

UTM turut menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh tenaga akademik apabila skor Staf dengan PhD meningkat daripada 95.7 kepada 99.1, manakala Nisbah Pelajar kepada Fakulti bertambah daripada 83.5 kepada 85.7.

Dari sudut pengantarabangsaan, skor Fakulti Antarabangsa mencatatkan peningkatan ketara daripada 37.0 kepada 61.8, iaitu peningkatan terbesar antara semua petunjuk yang dinilai.

Pencapaian itu mencerminkan usaha universiti berkenaan dalam memperluas jaringan kerjasama dan mobiliti akademik bersama institusi pendidikan di seluruh dunia.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, kejayaan mengekalkan kedudukan dalam kelompok 25 universiti terbaik Asia, di samping meningkatkan sembilan daripada 11 petunjuk penilaian, membuktikan momentum positif yang sedang dibina oleh universiti berkenaan.

Katanya, UTM akan terus memberi tumpuan kepada usaha menjadikan hasil penyelidikan sebagai penyelesaian mampan yang mampu membantu perkembangan industri dan masyarakat.

Beliau turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil komitmen seluruh warga universiti termasuk kakitangan, pelajar, alumni serta rakan strategik.

Untuk rekod, UTM merupakan universiti awam berteraskan penyelidikan yang mengkhusus dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

Ditubuhkan pada 1904, universiti berkenaan mempunyai kampus di Johor Bahru dan Kuala Lumpur serta terus memperkukuh bidang penyelidikan dalam teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan tenaga hidrogen.

UTM juga akan meneruskan usaha memperkukuh pencapaian universiti menerusi strategi UTM ASCEND 2030 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi dalam semua petunjuk penilaian.

Intipati
  • UTM mengekalkan kedudukan ke-25 dalam QS World University Rankings: Asia 2027.
  • Universiti itu berada di tangga keenam Asia Tenggara dengan skor keseluruhan 92.4.
  • UTM mencatat markah sempurna bagi tiga petunjuk berkaitan pelajar antarabangsa dan pertukaran.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan