Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hargai Jasa, Tindakan Warga Sekolah Rai Hari Lahir Pengawal Keselamatan Tuai Pujian

pengawal keselamatan
Kredit: Sekolah Kebangsaan Sebat, Lundu

Selain guru-guru, pegawai keselamatan di sekolah juga memainkan peranan penting untuk menjaga keselamatan para pelajar.

Justeru, tidak hairan jika ada pelajar serta pihak sekolah yang sangat menghormati dan menghargai pegawai keselamatan.

Pengawal keselamatan dirai

Bercakap mengenainya, tular satu hantaran di Facebook Sekolah Kebangsaan Sebat, Lundu yang menyambut ulang tahun kelahiran salah seorang pegawai keselamatan.

Sekolah yang terletak di Sarawak itu memuat naik beberapa gambar yang memaparkan Azini Ali memotong kek hari lahir.

Menurut sekolah itu, sambutan dilakukan sebagai tanda penghargaan atas tanggungjawab yang dijalankan oleh Azini selama ini.

“Warga Sekolah Kebangsaan Sebat telah mengadakan sambutan hari jadi bagi meraikan Encik Azini, pengawal keselamatan sekolah. Sambutan ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan ingatan warga sekolah terhadap beliau yang sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan serta persekitaran sekolah,” katanya.

Sambutan itu turut diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah, selain menghargai sumbangan serta komitmen pengawal keselamatan sekolah.

Ia juga mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, mesra dan saling menghormati.

Sambutan itu melibatkan warga pentadbir, guru dan kakitangan sekolah terbabit.

Terdahulu, satu lagi hantaran yang berlainan turut tular apabila sekolah tersebut menzahirkan ucapan hari jadi.

Ramai yang memuji tindakan sekolah yang turut menyantuni pengawal keselamatan itu.

“Warga Sekolah Kebangsaan Sebat merakamkan ucapan Selamat Hari Jadi kepada Encik Azini, pengawal keselamatan sekolah. Semoga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki serta diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan.

“Terima kasih atas segala khidmat bakti, komitmen dan tanggungjawab yang telah diberikan dalam memastikan keselamatan serta persekitaran sekolah sentiasa terpelihara,” tulis sekolah terbabit.

Intipati
  • Sekolah Kebangsaan Sebat meraikan hari lahir Azini Ali, pengawal keselamatan sekolah berkenaan.
  • Sambutan itu diadakan sebagai penghargaan atas komitmennya menjaga keselamatan dan persekitaran sekolah.
  • Hantaran Facebook sekolah tersebut tular, dengan ramai memuji tindakan menyantuni pengawal keselamatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan