KUALA LUMPUR (28 OKTOBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menzahirkan kebimbangan serius berhubung insiden yang dilaporkan berlaku pada 26 Oktober 2026, melibatkan seorang murid berusia 11 tahun yang mengalami kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Darau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Kecederaan serius yang dialami murid tersebut amat membimbangkan. Pesuruhjaya Kanak-Kanak turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kanak-kanak tersebut serta keluarganya dan mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan dan dapat pulih sepenuhnya.
Insiden ini bukanlah kejadian pertama yang dilaporkan melibatkan murid dan kemalangan jalan raya pada tahun 2026. Insiden lain yang dilaporkan termasuk:
i. 12 April - Kota Bharu, Kelantan: Seorang murid perempuan Tingkatan 1 maut dalam insiden melibatkan kenderaan di dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas.
ii 5 Mei - Batu Pahat, Johor: Seorang murid berusia 8 tahun meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van di pintu masuk utama Sekolah Kebangsaan Seri Maimon.
iii 2 Julai - Kemaman, Terengganu: Seorang murid berusia 6 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dalam insiden melibatkan sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Geliga.
iv 23 September - Permatang Pauh, Pulau Pinang: Dua orang murid perempuan berusia 8 dan 9 tahun mengalami kecederaan ringan selepas dilanggar seorang penunggang motosikal ketika melintas jalan di hadapan sekolah mereka.
v 30 September - Dalam perjalanan ke sekolah: Seorang murid berusia 8 tahun maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal bersama neneknya, yang turut mengalami kecederaan parah.
Laporan-laporan ini bukanlah membuktikan secara statistik bahawa kemalangan jalan raya di kawasan sekolah semakin meningkat atau setiap insiden berpunca daripada pemanduan melebihi had laju. Walau bagaimanapun, tindakan pencegahan tidak seharusnya ditangguhkan sehingga wujud pola kematian dan kecederaan parah.
Perlindungan kanak-kanak di dalam dan sekitar kawasan sekolah adalah selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC), termasuk kewajipan untuk menjadikan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama, melindungi hak mereka untuk hidup dan berkembang serta menjaga kesihatan dan mencegah kemalangan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan had laju 30 km/j di jalan yang turut digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna jalan raya lain yang lebih terdedah kepada risiko dengan lalu lintas bermotor. Kelajuan yang lebih rendah memberi pemandu lebih masa untuk bertindak balas, mengurangkan jarak yang diperlukan untuk memberhentikan kenderaan serta mengurangkan risiko pelanggaran.
Dasar had laju 30 km/j di zon sekolah telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas pada 15 Julai 2024. Pada 22 Oktober 2026, Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses mewartakan had tersebut, yang meliputi jarak 250 meter sebelum dan 250 meter selepas pintu masuk sekolah. Pesuruhjaya Kanak-Kanak mengalu-alukan perkembangan ini serta inisiatif Zon Selamat Sekolah yang telah diumumkan, dan menggesa Kerajaan memperincikan langkah yang masih belum diselesaikan serta mengumumkan tarikh kuat kuasa dan jadual pelaksanaan.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa Kerajaan untuk:
i. Menyelesaikan pindaan undang-undang dan peraturan yang diperlukan bagi mewartakan dan melaksanakan had laju maksimum 30 km/j di zon sekolah yang ditetapkan di seluruh negara.
ii. Menetapkan sempadan zon sekolah berdasarkan laluan sebenar yang digunakan oleh kanak-kanak, termasuk akses melalui pintu pagar sekolah yang lain serta laluan ke perhentian bas. Tempoh penguatkuasaan, tanggungjawab penguatkuasaan dan kaedah pelaksanaan mengikut bidang kuasa jalan raya yang berbeza perlu diperjelas, bagi memastikan perlindungan turut diberikan semasa sesi persekolahan petang, aktiviti kokurikulum dan perjalanan lain yang berkaitan dengan persekolahan.
iii. Menyelaras pelaksanaan melalui pelan yang diterajui Kementerian Pengangkutan, dengan penglibatan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa jalan raya yang berkaitan. Sementara proses pewartaan diselesaikan, penambahbaikan keselamatan segera hendaklah diteruskan dan undang-undang lalu lintas sedia ada dikuatkuasakan.
iv. Mengutamakan sekolah dan lokasi berdasarkan tahap risiko, termasuk sekolah yang terletak berhampiran jalan raya yang sibuk, tidak mempunyai kemudahan pejalan kaki yang selamat atau pernah mencatatkan insiden serius mahupun dikenal pasti berisiko tinggi. Langkah yang perlu diambil termasuk menyediakan lintasan pejalan kaki bertingkat, laluan pejalan kaki yang bersambung, kawasan perlindungan pejalan kaki, langkah kawalan trafik yang bersesuaian, papan tanda dan penandaan jalan yang jelas serta kawasan mengambil dan menurunkan murid yang selamat. Petugas lalu lintas yang terlatih dan penguatkuasaan had laju secara bersasar hendaklah disediakan apabila diperlukan, disertai pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta bersasar oleh pihak polis terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju dan melakukan kesalahan lalu lintas lain, khususnya pada waktu puncak. Kanak-kanak dan keluarga juga perlu mempunyai saluran yang mudah diakses untuk melaporkan sebarang bahaya. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan konsisten amat penting untuk memberikan kesan pencegahan yang berkesan. Tindakan pencegahan hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan proaktif, bukannya sekadar tindakan reaktif atau bermusim selepas berlakunya tragedi yang meragut nyawa atau mengakibatkan kecederaan.
v. Menggunakan Pendekatan Sistem Selamat (Safe System Approach) yang berpusatkan kanak-kanak, dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa. Kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran menilai kelajuan kenderaan, jarak dan risiko lalu lintas, dan tidak seharusnya memikul tanggungjawab utama terhadap keselamatan diri mereka di jalan raya. Pendidikan keselamatan jalan raya perlu melengkapi bukannya menggantikan, reka bentuk jalan raya yang selamat, had laju yang sesuai, infrastruktur pejalan kaki dan penguatkuasaan yang berkesan. Kerajaan juga perlu meneliti dan melaksanakan langkah yang bersesuaian daripada pelaksanaan zon perlindungan kanak-kanak di Korea Selatan dan program Zone 30 Plus di Jepun, yang menggabungkan had laju dengan kemudahan keselamatan, penguatkuasaan dan langkah kawalan trafik.
vi. Menyediakan peruntukan khusus dan melaporkan kemajuan secara berkala. Pelaksanaan hendaklah mempunyai garis masa yang jelas dan keutamaan mestilah berdasarkan tahap risiko, dengan perlindungan asas disediakan kepada semua sekolah tanpa mengira keupayaan mendapatkan tajaan daripada pihak swasta. Laporan kemajuan perlu mengenal pasti sekolah yang telah melaksanakannya, kerja-kerja keselamatan yang telah disiapkan, kelajuan sebenar kenderaan dan tahap pematuhan, serta jumlah kematian dan kecederaan parah. Pihak berkuasa hendaklah menggunakan dapatan ini untuk menambah baik proses pelaksanaan.
Setiap kanak-kanak berhak menikmati perjalanan pergi dan balik dari sekolah dengan selamat. Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa Kerajaan agar memastikan komitmen terhadap keselamatan kanak-kanak diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, termasuk penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, penyediaan peruntukan yang mencukupi dan pelaksanaan langkah keselamatan yang dapat dinilai keberkesanannya. Tindakan segera dan berterusan amat penting bagi mencegah tragedi yang boleh meragut nyawa atau menyebabkan kecederaan serius kepada kanak-kanak. Keselamatan mereka tidak seharusnya hanya diberikan perhatian selepas berlakunya kemalangan.
