Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Guna Claude, Penyelidik Anthropic Dakwa Berjaya Selesaikan Masalah Matematik Berusia Lebih 160 Tahun

Anthropic
Kredit: AFP

Seorang penyelidik syarikat kecerdasan buatan (AI) Anthropic, Levent Alpoge, mendakwa telah menggunakan chatbot Claude untuk membuktikan Hipotesis Riemann, iaitu masalah matematik yang belum dapat diselesaikan selama lebih 160 tahun.

Iklan

Hipotesis yang pertama kali diperkenalkan oleh ahli matematik Jerman, Bernhard Riemann, pada 1859 itu berkaitan dengan taburan nombor perdana dan secara meluas dianggap sebagai antara persoalan terbuka paling penting dalam bidang matematik tulen.

“Saya percaya bahawa saya telah menemui bukti bagi Hipotesis Riemann dengan bantuan Claude,” tulis Levent Alpoge dalam satu nota setebal empat halaman yang diterbitkan pada Jumaat.

Kredit: AFP

Bagaimanapun, menurut laporan AFP, dakwaan tersebut masih belum disahkan secara bebas dan bukti berkenaan juga belum melalui proses penilaian oleh pakar luar.

“Ia merupakan detik bersejarah yang amat besar dalam sejarah manusia. Saya benar-benar berpendapat ini adalah perkara terbesar yang pernah berlaku dalam bidang matematik,” kata seorang pakar terkemuka dalam Hipotesis Riemann, Brian Conrey, kepada AFP.

Beliau berkata bahawa dirinya langsung tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku dan masih belum melihat manuskrip penuh, sebaliknya hanya membaca kenyataan yang dimuat naik oleh Alpoge di laman webnya.

Conrey turut memaklumkan bahawa beliau telah meminta salinan manuskrip berkenaan.

“Ia kelihatan sangat rumit. Saya tidak fikir mana-mana manusia mampu menemui penyelesaian ini dalam masa terdekat,” ujarnya sambil menambah bahawa beliau percaya akan ada cara yang lebih mudah untuk membuktikannya.

Beberapa jam selepas pengumuman Alpoge, profesor matematik Universiti Stanford, Ravi Vakil, berkata seorang penyelidik pasca kedoktoran (postdoctoral researcher) di jabatan yang sama turut mengemukakan bukti bagi hipotesis tersebut secara bebas.

Pun begitu, Vakil dan penyelidik berkenaan belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP.

Hipotesis Riemann antara tujuh masalah matematik bernilai RM4.11 juta

Hipotesis Riemann merupakan salah satu daripada tujuh Masalah Hadiah Milenium (Millennium Prize Problems) yang dipilih oleh Clay Mathematics Institute pada tahun 2000.

Institut tersebut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta (kira-kira RM4.11 juta) bagi setiap masalah yang berjaya diselesaikan.

Mengikut peraturan institut itu, penyelesaian yang dikemukakan perlu diterbitkan dalam jurnal yang melalui proses penilaian rakan sebidang (peer review) dan kekal diterima selepas tempoh penelitian selama dua tahun.

Alpoge berkata kaedah yang digunakan bersama Claude itu turut menyelesaikan versi lebih luas bagi masalah berkenaan yang dikenali sebagai Hipotesis Riemann Teritlak (Generalized Riemann Hypothesis).

Beliau turut memaklumkan bahawa dengan bantuan Claude, satu versi bukti telah dihasilkan menggunakan Lean, iaitu bahasa pengaturcaraan yang membolehkan hujah matematik diperiksa menggunakan komputer.

Buat masa ini, beliau hanya menerbitkan versi tersebut.

Menurutnya, hujah matematik lengkap dalam bentuk penulisan dijangka sangat panjang. Beliau juga mengakui masih belum menguasai sepenuhnya semua aspek matematik yang terlibat dan merancang untuk menyediakan penjelasan lengkap dengan lebih teratur.

Alpoge berkata bahawa beliau telah mendapatkan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei, sebelum mengumumkan penemuan tersebut.

Beliau turut mengakui bahawa pemilihan masa pengumuman itu mungkin menimbulkan pandangan sinis, namun tidak memberikan penjelasan lanjut.

Pengumuman berkenaan dibuat sehari selepas Anthropic mencatatkan penampilan sulung di pasaran saham yang memecahkan rekod.

Pada Ogos lalu, Anthropic memaklumkan bahawa versi Claude yang belum dilancarkan telah berjaya memperbaiki satu hasil kajian lama berkaitan Hipotesis Riemann, namun syarikat itu menegaskan bahawa ia masih belum membuktikan hipotesis tersebut.

Anthropic bagaimanapun belum memberikan maklum balas segera berhubung perkara itu.

Dakwaan terbaharu ini muncul dua bulan selepas pesaingnya, OpenAI, mengumumkan bahawa model AI mereka berjaya menyelesaikan satu lagi Masalah Hadiah Milenium (Millennium Prize Problem) berkaitan persamaan yang mengawal pergerakan bendalir.

Ahli matematik berkata bahawa bukti yang dikemukakan itu kelihatan betul, namun masih belum melalui proses penelitan sepenuhnya.

Alpoge sebelum ini pernah menjalankan penyelidikan berkaitan masalah bendalir bersama ahli matematik Universiti New York, Tristan Buckmaster, turut terlibat dalam pertikaian mengenai pengiktirafan sumbangan terhadap kajian tersebut. OpenAI bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Sementara itu, Nestor Guillen, profesor pelawat matematik di Universiti New York, berkata beliau gembira kerana kali ini mungkin tidak akan berlaku kontroversi korporat yang sama.

Beliau turut memuji keterbukaan Alpoge yang mengakui bahawa dirinya masih belum memahami sepenuhnya bukti matematik yang dihasilkan.

Menurut Guillen, proses perbincangan dan pertukaran idea yang diterangkan oleh Alpoge menunjukkan bahawa AI berfungsi lebih sebagai alat yang membantu penyelidikan, sekali gus menangkis tanggapan bahawa teknologi tersebut merupakan sejenis 'tuhan mesin' (machine god).

Intipati
  • Levent Alpoge mendakwa Claude membantunya membuktikan Hipotesis Riemann, masalah matematik berusia 160 tahun.
  • Dakwaan itu masih belum disahkan bebas atau melalui penilaian pakar luar setakat ini.
  • Clay Mathematics Institute menawarkan AS$1 juta jika penyelesaian diterbitkan dan diterima selepas penelitian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan