Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

GTA 6 Hampir Tiada Cela, Penantian 13 Tahun Berbaloi

gta tiada cela
Kredit: AFP

Selepas 13 tahun menanti kemunculan permainan terbaharu dalam siri Grand Theft Auto (GTA), Rockstar Games akhirnya kembali dengan Grand Theft Auto 6 (GTA 6) yang menawarkan pengalaman permainan lebih mengagumkan menerusi grafik realistik, dunia terbuka yang luas dan jalan cerita penuh aksi.

Iklan

Penantian panjang sejak pelancaran GTA 5 pada 2013 menjadikan GTA 6 antara permainan video paling dinantikan peminat di seluruh dunia.

Berlatarbelakangkan negeri fiksyen Leonida yang diinspirasikan daripada Florida, permainan ini membawa pemain mengikuti kisah dua penjenayah kecil-kecilan, Jason dan Lucia, dalam usaha mereka mengharungi dunia jenayah di Vice City.

GTA 6 Hampir Tiada Cela, Pengalaman Seperti Menonton Filem Hollywood

Dari awal lagi, Rockstar sudah menyasarkan pengalaman seakan-akan menonton filem di layar perak.

Protagonis Jason dan Lucia pertama kali bertemu dalam urutan tajuk ala filem, dengan nama pencipta permainan dipaparkan di skrin seiring dengan perjalanan cerita.

Pengaruh Hollywood turut jelas dalam aksi awal permainan, apabila adegan tembak-menembak dan pergaduhan diserikan dengan kesan gerakan perlahan serta perubahan sudut kamera dramatik seperti filem blockbuster.

Jalan cerita permainan ini memberi tumpuan kepada hubungan Jason dan Lucia, bermula daripada pertemuan tidak sengaja ketika sekatan polis sehinggalah kejadian rompakan yang menyebabkan Lucia dipenjarakan.

Kebanyakan perkembangan awal cerita dipaparkan menerusi babak sinematik yang panjang sebelum pemain diberikan lebih banyak kebebasan untuk mengawal perjalanan permainan.

Dunia Rasa Lebih 'Hidup' Dan Realistik

Pemain kemudian diperkenalkan dengan kehidupan seharian Jason yang tidak begitu glamor.

Sebagai bekas anggota tentera yang kini bekerja sambilan untuk samseng tempatan, Jason terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk mencari semula bungkusan dadah yang terjatuh ke laut, mencuri kereta dan berdepan dengan penghutang.

Salah satu aspek paling mengagumkan dalam GTA 6 ialah perhatian Rockstar terhadap perincian visual dan pergerakan watak.

Rambut kelihatan berayun ditiup angin, otot bergerak di bawah pakaian dan setiap watak menunjukkan pergerakan yang lebih semula jadi berbanding kebanyakan permainan video lain.

Negeri fiksyen Leonida, gambaran Rockstar terhadap Florida, turut dibangunkan sebagai dunia yang terasa benar-benar didiami.

Jalan raya bandar yang sibuk, kehidupan malam dengan limpahan cahaya neon serta pantai yang indah membentuk persekitaran tiga dimensi luas untuk diterokai pemain, termasuk aktiviti menyelam skuba.

Peta permainan itu juga berpotensi menjadi antara yang terbesar dan paling sibuk pernah dihasilkan.

Watak bukan pemain (NPC) turut mempunyai rutin kehidupan tersendiri, menjadikan dunia permainan seolah-olah terus bergerak walaupun pemain tidak terlibat dalam sesuatu kejadian.

Ketika memandu merentasi bandar, pemain mungkin berdepan sekatan jalan raya polis secara rawak, menyaksikan kemalangan atau terserempak dengan kejadian rompakan di kawasan pantai.

Mekanik Permainan Lebih Mencabar

Berbanding permainan terdahulu, GTA 6 turut menuntut lebih banyak perhatian daripada pemain menerusi beberapa mekanik baharu.

Kenderaan kini terasa lebih berat dan sukar dikendalikan, manakala pemain perlu memantau paras bahan api ketika memandu.

Mereka juga perlu menentukan barangan yang disimpan di dalam but kereta serta apa yang perlu dibawa sepanjang perjalanan.

Selain itu, pemain perlu mengurus panggilan telefon dan mesej, selain menggunakan aplikasi untuk mengenal pasti sasaran atau menjejaki peluang mendapatkan wang.

Pihak polis juga digambarkan lebih tegas berbanding sebelum ini, menjadikan situasi kejar-mengejar lebih mencabar dan sukar dijangka.

Elemen Klasik GTA Masih Dikekalkan

Walaupun hadir dengan pelbagai pembaharuan, Rockstar masih mengekalkan elemen klasik yang menjadikan siri GTA begitu popular.

Pemain masih perlu memandu dari satu misi ke misi lain, menerima tugasan meragukan, mencetuskan kekacauan dan mengumpul wang untuk meneruskan jalan cerita.

Unsur humor yang menjadi identiti siri ini juga tidak diketepikan, sama ada menerusi perbualan lucu Jason dan Lucia atau watak sampingan berwarna-warni seperti Cal Hampton, rakan karib yang obses dengan teori konspirasi dan agak paranoid.

Seperti permainan GTA terdahulu, pemain turut boleh menikmati lebih daripada 20 stesen radio ketika berada di rumah atau memandu kenderaan.

Pilihan muziknya merangkumi pelbagai artis dan kumpulan terkenal termasuk Simple Minds, Daft Punk dan Van Halen.

Selain muzik, permainan video itu turut memperkenalkan kandungan podcast baharu, termasuk siri berkonsepkan jenayah benar yang mengisahkan pelbagai kejadian di Vice City, bandar utama dalam permainan berkenaan.

Intipati
  • GTA 6 berlatar di Leonida, mengikuti kisah Jason dan Lucia di Vice City.
  • Rockstar menekankan gaya sinematik, grafik realistik dan dunia terbuka yang terasa lebih hidup.
  • Mekanik baharu termasuk pengurusan bahan api, barangan, panggilan telefon dan kejar-mengejar polis.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan