Grand Theft Auto 6 (GTA 6) terus mencuri perhatian dunia apabila pelancarannya mencetuskan fenomena luar biasa dalam industri permainan video, sekali gus mencipta rekod baharu dari segi jualan dan sambutan pemain.
Menurut BBC, GTA 6 mencatat rekod jualan runcit sebanyak AS$3.8 bilion (RM15.63 bilion) pada hari pertama pelancarannya, menjadikannya pelancaran hiburan terbesar dalam sejarah.
Syarikat induk Rockstar Games, Take-Two Interactive memaklumkan pada Jumaat bahawa angka tersebut berdasarkan anggaran jualan sehingga penghujung Khamis.
Pencapaian itu turut mencatat rekod bagi pelancaran hiburan merentasi pelbagai medium, dengan sebanyak 32.5 juta salinan permainan berkenaan telah dijual secara prajualan.
Sebagai perbandingan, filem Spider-Man: Brand New Day, yang merupakan filem dengan kutipan tertinggi setakat tahun ini, memperoleh AS$2.5 bilion (RM10.28 bilion) sepanjang tempoh tayangannya di pawagam.

GTA 6 pecah rekod jualan dan trafik internet
Sambutan luar biasa terhadap GTA 6 bukan sahaja dapat dilihat menerusi angka jualan, malah turut menyebabkan peningkatan mendadak trafik internet di beberapa negara.
Firma infrastruktur internet, Cloudflare melaporkan bahawa jumlah muat turun GTA 6 di PlayStation 5 (PS5) di United Kingdom meningkat sehingga 8.6 kali ganda berbanding paras biasa ketika pelancarannya.
Sementara itu, New Zealand yang menjadi negara pertama menerima akses kepada permainan tersebut merekodkan peningkatan trafik sebanyak 14.8 kali ganda, empat jam lebih awal daripada waktu pelancaran.
Keadaan itu menimbulkan kemungkinan bahawa sesetengah pemain telah menukar wilayah akaun mereka bagi mendapatkan akses kepada GTA 6 lebih awal.
Dalam dapatan awal selepas pelancarannya, Cloudflare turut merekodkan lonjakan trafik ke perkhidmatan dalam talian Rockstar, dengan peningkatan sehingga 11.2 kali ganda di Australia dan 9.3 kali ganda di kawasan Pantai Timur Amerika Syarikat.

Di Eropah, United Kingdom mencatat peningkatan trafik sehingga tujuh kali ganda berbanding paras biasa, manakala Perancis dan Jerman masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 5.3 kali ganda.
Kejayaan tersebut sekali gus mengatasi pencapaian permainan terdahulunya, Grand Theft Auto V (GTA 5), yang dilancarkan 13 tahun lalu.
Sebelum ini, GTA 5 memegang rekod jualan minggu pertama tertinggi dalam sejarah permainan video selepas menjana AS$1.15 bilion (kira-kira RM4.73 bilion) dalam tempoh lima hari.
Kos pembangunan GTA 6 dianggarkan melebihi RM4.11 bilion
GTA 6 merupakan keluaran terbaharu dalam francais permainan jenayah Rockstar yang telah bertapak hampir tiga dekad dan menjadi antara siri permainan video paling popular dalam sejarah.
Siri GTA secara umumnya mengetengahkan sindiran terhadap konsep impian Amerika (American Dream) dengan membolehkan pemain mengawal watak penjenayah dalam dunia terbuka.
Bagi GTA 6, jalan ceritanya berlatarbelakangkan Leonida, sebuah negeri fiksyen yang diinspirasikan daripada Florida, Amerika Syarikat.
Permainan terbaharu ini turut memperkenalkan dua watak utama, iaitu Lucia dan pasangannya, Jason, yang terlibat dalam kegiatan jenayah kecil-kecilan.

Dari segi pembangunan, GTA 6 dianggarkan menelan kos melebihi AS$1 bilion (RM4.11 bilion), sekali gus berpotensi menjadikannya permainan video paling mahal pernah dihasilkan.
Firma penyelidikan Sensor Tower pula menjangkakan populariti GTA 6 akan menyebabkan masa yang diluangkan pemain untuk permainan pemain tunggal (single-player) lain berkurangan sebanyak 10 peratus.
Firma itu menjelaskan bahawa anggarannya berdasarkan data resit e-mel serta sumber statistik lain yang menjejaki jutaan pengguna setiap hari.
Selain itu, Sensor Tower turut memantau profil awam pemain di platform permainan utama seperti PlayStation dan Xbox.
Berdasarkan pemerhatiannya, kira-kira tiga perempat daripada jualan GTA 6 adalah menerusi PlayStation 5, manakala selebihnya melalui Xbox.


