Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar untuk mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-2026 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Menerusi satu kenyataan, FAM berkata mereka terdiri daripada pengadil, Mohammed Ahmed Al Shammari, Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2 serta Meshari Ali Alshamari selaku Pengadil VAR.
"Kesemua mereka bertaraf Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Keempat-empat pegawai ini bukanlah nama asing di pentas bola sepak antarabangsa.
"Pengadil bersama kedua-dua Penolong Pengadil serta Pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup, membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka dalam mengurus perlawanan berintensiti tinggi," katanya.
FAM berkata pelantikan pengadil dari luar negara dibuat selepas pihaknya menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu.

"Untuk rekod, FAM sebelum ini pernah melantik pengadil luar pada Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019, Perak dan Kedah di venue yang sama iaitu tiga pegawai perlawanan dari Jepun, Takuto Okabe selaku Pengadil, dibantu oleh Akane Yagi dan Osamu Nomura sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.
"Perlawanan Akhir Piala Malaysia sentiasa menjadi acara kemuncak bola sepak negara.
"Justeru, FAM komited untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk pengadilan mencapai standard terbaik selaras dengan reputasi kejohanan tertua dan paling berprestij di Malaysia," ujar FAM.