Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

NVIDIA Lantik Semula Jensen Huang Sebagai Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutif

nvidia
Kredit: AFP

Syarikat teknologi gergasi, NVIDIA mengumumkan pelantikan semula Jensen Huang sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa serta-merta, selain kembali menganggotai Lembaga Pengarah syarikat itu.

Iklan

Dalam satu kenyataan hari ini, NVIDIA memaklumkan keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh Lembaga Pengarah selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan bersama Huang.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengarah berpuas hati dengan keterbukaan Huang sepanjang proses berkenaan serta keyakinan terhadap kepimpinannya untuk menerajui syarikat tersebut.

Jelasnya, lembaga berkenaan turut mendapatkan pandangan daripada pihak kanan kerajaan Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan dan berdasarkan maklum balas diterima, pelantikan semula Huang tidak menimbulkan risiko keselamatan negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah NVIDIA, Harvey C. Jones berkata, pihaknya percaya Huang merupakan individu yang tepat untuk menerajui syarikat berkenaan.

“Lembaga Pengarah percaya Jensen ialah individu yang tepat untuk memimpin NVIDIA dan pelantikan semulanya adalah demi kepentingan terbaik pemegang saham, pekerja, rakan kongsi serta pelanggan kami,” katanya.

Jones turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Huang dan mengalu-alukan kepulangannya untuk menerajui syarikat itu.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Colette Kress atas khidmat cemerlangnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara, selain meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Kewangan NVIDIA.

Jones akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

Sementara itu, Huang berkata, beliau berbesar hati untuk kembali menerajui NVIDIA, yang disifatkannya sebagai antara syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia ketika bermulanya revolusi industri baharu.

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rendah hati dan komitmen yang diperbaharui. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah NVIDIA atas keyakinan dan pertimbangan mereka sepanjang proses ini,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jones atas kepimpinannya sebagai pengerusi, selain Colette Kress dan barisan pengurusan eksekutif yang menerajui NVIDIA sepanjang tempoh berkenaan.

Huang berkata, beliau juga berterima kasih kepada pekerja, pemegang saham, pemimpin industri serta rakan kongsi di seluruh dunia atas sokongan yang diberikan.

Dalam perkembangan berkaitan, NVIDIA memaklumkan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Lembaga Pengarah bagi menyiasat dakwaan bahawa Huang menjadi sasaran operasi risikan asing akan meneruskan siasatan sehingga selesai.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan terdiri sepenuhnya daripada pengarah bebas dan telah melantik penasihat undang undang bebas bagi membantu proses siasatan.

Huang turut menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan tersebut dan komited untuk memberikan kerjasama.

Selain itu, Lembaga Pengarah NVIDIA turut menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Kawalan Eksport yang dianggotai sepenuhnya oleh pengarah bebas bagi memantau pematuhan perdagangan serta risiko keselamatan negara.

Jawatankuasa itu sedang mendapatkan khidmat penasihat yang mempunyai pengalaman dalam hal ehwal keselamatan negara, selain akan melantik penasihat lain dengan kepakaran berkaitan.

NVIDIA turut memulakan proses mencari calon bagi mengisi jawatan baharu Ketua Pegawai Pematuhan yang akan menyelia pematuhan di seluruh syarikat dan melapor kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Tadbir Urus Korporat.

Syarikat itu turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan kerjasama terhadap siasatan dan pertanyaan yang sedang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Intipati
  • NVIDIA melantik semula Jensen Huang sebagai Presiden dan CEO berkuat kuasa serta-merta.
  • Lembaga Pengarah berkata pelantikan semula Huang tidak menimbulkan risiko keselamatan negara.
  • Jawatankuasa bebas masih menyiasat dakwaan Huang menjadi sasaran operasi risikan asing.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan