Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

GOMBAK, 14 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini, mendahului jadual asal pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sasaran itu bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan yang sedang dilaksanakan, termasuk Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR), tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan.
Beliau berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utama China Communications Construction Company Ltd (CCCC) perlu berusaha mempercepat proses berkenaan supaya perkhidmatan dari Kelantan ke Selangor dapat dimulakan menjelang cuti hujung tahun ini.
“Kita cuba melihat bagaimana Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh membantu memudahcarakan urusan berkaitan proses ujian dan pentauliahan bagi mempercepat projek ini tanpa kompromi terhadap keselamatan.
“Biasanya ia mengambil masa dua hingga tiga bulan, jadi kita nak lihat bagaimana dapat dipendekkan masa tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan SIT dan FFR Projek ECRL di Stesen Terminal Bersepadu Gombak di sini hari ini.
Loke berkata usaha mempercepat operasi itu dibuat berdasarkan penilaian bahawa pelbagai ujian terhadap tren telah dilaksanakan sebelum ia dihantar ke Malaysia, termasuk ujian di kilang di China.
Menurutnya, SIT ECRL yang bermula bulan ini akan menguji integrasi pelbagai sistem termasuk elektrik dan sistem isyarat sebelum FFR dilaksanakan pada September.
Beliau berkata set tren pertama dan E-Loco masing-masing perlu menjalani FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah kawal selia APAD bagi memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan operasi memenuhi piawaian dan keperluan perundangan ditetapkan.
“FFR merupakan antara proses penting sebelum operasi komersial kerana tren akan bergerak di landasan dalam keadaan sebenar, namun tidak membawa penumpang,” katanya.
Loke berkata semua ujian terdahulu perlu dilengkapkan dan diluluskan sebelum FFR dilaksanakan, justeru, usaha mempercepat tempoh berkenaan tidak bermaksud mana-mana proses keselamatan diketepikan.
"Kita lebih takut daripada anda. Saya lebih takut daripada anda kalau ada risiko. Sudah tentu kita mengambil semua pertimbangan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata projek ECRL kini mencatat kemajuan keseluruhan 95.08 peratus setakat Julai bagi Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dan Gombak.
Beliau berkata Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027, dengan operasi dijadualkan bermula pada Januari 2028.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Haji Habibollah, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri M Jana Santhiran, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Presiden CCCC Zhang Bingnan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan