KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) – Tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata Jemaah Menteri, meluluskan cadangan pelaksanaan tambang penumpang ECRL berasaskan mekanisme tambang dinamik pada 16 Okt. Hal ini menjelang operasi komersial yang disasarkan bermula pada pertengahan Disember ini.
“RM125 merupakan kadar tambang permulaan bagi kelas ekonomi transit Gombak ke Kota Bharu, dan bukannya harga tetap untuk semua perjalanan,” katanya pada sidang media pengumuman kadar tambang di sini hari ini.
Beliau berkata mekanisme tambang dinamik membolehkan harga tiket berubah mengikut waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk, selain mempunyai elemen intervensi sekiranya harga meningkat terlalu tinggi.
Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang transit bermula RM95 sehala manakala perkhidmatan ekspres bermula RM110. Bagi perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer pula, tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.
Kadar tambang permulaan yang sama, turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.
Darwis berkata ECRL menawarkan dua jenis perkhidmatan, iaitu transit yang berhenti di setiap stesen yang dijadualkan dan ekspres yang hanya berhenti di empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.
Beliau berkata kadar tambang bagi stesen sepanjang jajaran ECRL, dijangka tersedia pada pertengahan November ini, apabila penjualan tiket rasmi dibuka.
Dalam pada itu, beliau berkata Jemaah Menteri turut meluluskan diskaun sebanyak 50 peratus bagi kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya serta pesara kerajaan, manakala pelajar berumur 13 hingga 24 tahun layak mendapat diskaun 40 peratus.
“Kita mahu ECRL menjadi pilihan bukan sahaja kepada golongan bekerja atau mereka yang melakukan perjalanan perniagaan.
“Tetapi juga kepada keluarga, pelajar, warga emas, dan golongan yang memerlukan akses kepada pengangkutan awam yang lebih mudah dan berpatutan,” katanya.
Tambahnya, ECRL juga menawarkan tiga pilihan kelas tempat duduk, iaitu ekonomi, ekonomi premium dan perniagaan, bagi memenuhi keperluan penumpang yang berbeza.
Sementara itu, Darwis turut berkata kemajuan keseluruhan projek ECRL mencapai 98.16 peratus setakat Oktober 2026, dengan ujian penerimaan tapak (SAT) dan ujian integrasi sistem (SIT) telah disempurnakan sepenuhnya.
Katanya, ujian tren yang bermula pada 25 Ogos lepas telah meliputi jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer, manakala ujian Fault-Free Running (FFR) dijadualkan bermula pada 23 Okt ini, sebelum operasi percubaan dilaksanakan sepanjang November.
“Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pada 12 Dis 2026, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang, jadual perjalanan dan penjualan tiket menerusi laman sesawang rasmi ECRL.

