Khabar angin kononnya negara bakal melakukan ‘lockdown’ atau perintah berkurung membuatkan orang ramai berpusu-pusu untuk membeli barang keperluan asas biarpun Perdana Menteri telahpun menjamin barangan keperluan mencukupi untuk semua.
Tidak terkecuali bekas pemain badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei. Menurutnya, beliau turut bersiap sedia untuk mendapatkan barang keperluan harian untuk keluarganya.
Beliau turut menitipkan beberapa pesanan penting untuk semua pengikut dan rakyat Malaysia. Mari baca perkongsiannya.
Dua hari lepas, ada khabar angin perintah pergerakan berkenaan koronavirus ni. So Mew Choo pon suruh pergi beli apa yang patut untuk 2 minggu ni. Isteri lagi pandai matematik tambahan, jadi ikut shopping list wife. Keluarga 4 orang, ayam 5 ekor, beras 1 kampit, sayur 2 minggu, Maggie 2 pek, telur 2 dozen, buah, tisu tandas 1 beg.
Tapi masa saya sampai pasaraya, aduhai! Ramainya auntie-auntie makcik-makcik, macam lumba marathon troli! Kalah Khairul Jantan! Nasib baik sempat lagi kumpul senarai barang belian isteri. Tapi tisu tandas saya terlambat.
Datang suatu suara menyeru dari belakang, “Lee, nah amik bag ni. I terambik 2. Tadi tengok semua rebut tapao wa pon terikut ambik lebih, entah kenapa, bukan I pakai untuk basuh pon!” Dia Nazir, sahabat yang tinggal berhampiran. Kita tergelak dan catch up sikit.
Selepas tu, makin ramai gengster troli serbu, saya pun terus cabut, sebab saya tau virus ni merebak mudah.
Kawan sekalian, saya berharap agar jangan cemas menghadapi krisis ini. Simpanlah makanan tapi berpatutanlah bilangannya. Dan saya minta tolong semua duduk di rumah jangan keluar sementara ni.
Jangan balik kampung macam cuti raya. Kau mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang.
Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat.
Kepada petugas barisan hadapan, para doktor, missi, kakitangan hospital dan juga cashier pasaraya yang terus berkhidmat dalam masa ini. Terimalah tunduk kehormatan dari saya!
Cara paling baik kita membalas budi dan bersumbang, ialah dengan #STAYHOME
Sumber: Lee Chong Wei