Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo terus mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam enam edisi FIFA World Cup berbeza.
Menurut laporan ESPN, Ronaldo mencatat sejarah itu ketika membantu Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K, awal pagi tadi.
Pemain berusia 41 tahun itu membuka jaringan seawal minit keenam menerusi penyudah kemas di tiang dekat sebelum menambah gol kedua peribadinya menerusi larian pantas menyambut hantaran rakan sepasukan bagi menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama.
Kemenangan itu hadir selepas Portugal dan Ronaldo menerima kritikan hebat susulan keputusan seri 1-1 menentang Congo DR minggu lalu.
Malah, pengendali Portugal, Roberto Martínez turut dipersoalkan kerana terus mempertaruhkan Ronaldo sebagai penyerang utama.
Selepas tamat perlawanan, Ronaldo mengakui minggu lalu merupakan tempoh yang sukar buat dirinya dan pasukan.
“Tuhan sentiasa membantu mereka yang bekerja keras. Saya tahu rakan sepasukan juga akan membantu.
“Ia minggu yang sukar, minggu yang gelap. Saya rasa seperti sudah bersara daripada bola sepak. Tetapi saya terus bertahan seperti biasa kerana saya percaya pada kerja keras lebih daripada apa-apa,” katanya.
Jaringan itu menjadikan Ronaldo satu-satunya pemain lelaki yang berjaya menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia iaitu pada tahun 2006, 2010, 2014, 2018, 2022 dan 2026.
Beliau juga kini muncul sebagai penjaring kedua tertua dalam sejarah Piala Dunia pada usia 41 tahun 138 hari, hanya di belakang legenda Cameroon, Roger Milla yang menjaringkan gol pada usia 42 tahun pada edisi 1994.
Setakat ini, Ronaldo telah meledak 10 gol sepanjang penampilannya di Piala Dunia dan mencatatkan 145 gol antarabangsa dalam 230 penampilan bersama Portugal, sekali gus menjadikannya pemain dengan penampilan antarabangsa terbanyak dalam sejarah bola sepak lelaki.