Pemain kelab CD Tenerife, Jesús de Miguel, meninggal dunia pada usia 30 tahun selepas mengalami kecederaan serius susulan pertembungan dengan penjaga gol FC Andorra dalam perlawanan LaLiga 2, Isnin.
Penyerang dari Sepanyol itu dilaporkan bertembung dengan Jesús Owono ketika kedua-duanya berebut bola pada penghujung perlawanan yang berlangsung di Tenerife.

Insiden berkenaan menyebabkan perlawanan dihentikan bagi membolehkan pasukan perubatan memberikan rawatan sebelum de Miguel dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.
Menurut kenyataan CD Tenerife pada Isnin malam, keadaan pemain itu dilaporkan stabil meskipun kecederaan yang dialaminya serius.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu pada Selasa memaklumkan keadaan neurologinya semakin merosot sebelum kelab berkenaan mengesahkan berita kematiannya.
Dalam satu kenyataan pada Selasa pagi, CD Tenerife menyatakan de Miguel menghembuskan nafas terakhir pada jam 8 pagi, 3 November 2026.
Kelab itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, insan tersayang serta seluruh komuniti bola sepak Tenerife yang terkesan dengan pemergian pemain berkenaan.
Keluarga de Miguel juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas ucapan takziah dan sokongan yang diberikan, selain memohon agar privasi mereka dihormati dalam tempoh sukar itu.
Sementara itu, Owono dilayangkan kad merah selepas insiden berkenaan susulan tindakan melakukan terjahan tinggi secara mengejut terhadap lawan menggunakan kekerasan berlebihan ketika bola masih dalam permainan.
Pemergian de Miguel turut mengundang ucapan takziah daripada beberapa kelab dan tokoh bola sepak, termasuk Barcelona, FC Andorra, bekas kelabnya CD Castellón serta Presiden LaLiga, Javier Tebas.
Dalam perkembangan lain, kelab Espanyol turut menangguhkan majlis pengenalan ketua jurulatih baharu mereka, Eder Sarabia, susulan berita kematian pemain Tenerife itu.
De Miguel menyertai Tenerife pada musim panas 2025 dan membantu kelab dari Kepulauan Canary itu memperoleh promosi ke divisyen kedua pada musim lalu.

