Pernah kehilangan seekor kucing hingga menitiskan air mata, namun tidak pernah terlintas di hati Cik Tom Bustana untuk berhenti menyelamatkan kucing-kucing terbiar yang bergantung harap kepadanya.
Bagi wanita ini, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan, sebaliknya makhluk yang mempunyai kisah, perasaan dan hak untuk hidup dengan selayaknya.
Lebih mengharukan, kecintaan Cik Tom terhadap kucing bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya sudah berputik sejak kecil apabila keluarganya di Sarawak pernah memelihara kira-kira 10 ekor kucing.
Daripada sekadar membesar bersama si meow, perjalanan itu akhirnya membawa Cik Tom kepada sebuah usaha lebih besar menerusi Bustana Kucing di Sungai Batu Pahat, Perlis, yang menjadi tempat perlindungan buat kucing-kucing gelandangan dan terbiar.
Dalam satu panggilan bersama SiakapKeli baru-baru ini, Cik Tom berkata, perjalanan bersama Bustana Kucing bukanlah sesuatu yang mudah, namun kepuasan melihat kucing yang sakit kembali sihat dan akhirnya mendapat keluarga yang sesuai menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

Dari dunia pendidikan kepada dunia kucing
Sebelum dikenali menerusi usaha kebajikan kucing, Cik Tom sebenarnya mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan.
Menurut beliau, perjalanan kerjayanya bermula sebagai seorang guru sebelum bergelar pengetua sekolah dan kemudiannya pengarah pendidikan sebuah sekolah swasta di Selangor.
Namun, kecintaan terhadap kucing sudah lama sebati dalam dirinya.
“Saya membesar dalam keluarga yang mempunyai banyak kucing sejak kecil. Di Sarawak, keluarga saya mempunyai kira-kira 10 ekor kucing.
“Ketika itu, kucing domestik turut memainkan peranan menjaga padi selepas dituai,” katanya.
Seekor kucing membuka mata Cik Tom
Menurut Cik Tom, kesedaran untuk membantu kucing terbiar semakin berkembang selepas beliau aktif dalam komuniti kucing.
Antara pengalaman yang meninggalkan kesan ialah ketika beliau bersama isterinya, yang ketika itu masih teman wanita, mengambil seekor kucing gelandangan di Sarawak.
Di lokasi berkenaan, mereka mendapati banyak kucing gelandangan ditangkap dan diletakkan oleh pemilik asal.
“Keadaan itu menyedarkan kami bahawa perlu ada usaha untuk memberi kesedaran kepada pemilik mengenai tanggungjawab menjaga kucing dengan baik.
“Kucing yang kami ambil itu pula menjadi medium untuk melepaskan tekanan selepas belajar kerana gelagatnya sangat mencuit hati,” ujarnya.
2015: Bustana Kucing mula dibina
Tahun 2015 menjadi titik penting dalam perjalanan Cik Tom apabila Bustana Kucing mula diwujudkan.
Menurut beliau, individu penting dalam penubuhan usaha itu ialah Encik Taufik yang ketika itu sudah berpuluh tahun mengendalikan shelter kucing di Perlis.
Selepas berbincang dan mendapat sokongan daripada Tuan Haji Norsiake, yang ketika itu merupakan pengarah besar PKENPs, kerjasama dibentuk bagi memberikan nilai tambah kepada shelter sedia ada.
“Nama Bustana Kucing saya pilih kerana bermaksud taman kucing,” katanya.
Ketika itu, Encik Taufik sudah menjaga kira-kira 100 ekor kucing seorang diri.
Cik Tom pula mula membantu dari segi keperluan makanan dan pengurusan shelter.

“Aku mampu ke nak jaga semua kucing ini?”
Bukan sekali dua persoalan itu bermain di fikiran Cik Tom.
Setiap kali melihat jumlah kucing yang memerlukan perhatian, beliau mengakui persoalan mengenai kemampuan untuk meneruskan usaha itu sentiasa bermain di fikirannya.
Namun, kehadiran rakan kongsi yang tepat menjadi antara kekuatan untuk terus melangkah.
“Setiap masa saya akan berfikir perkara ini. Namun, dengan bantuan rakan kongsi yang tepat, Encik Taufik, saya yakin Allah akan memberikan jalan terbaik untuk usaha kami,” katanya.
Bila kucing cantik dijaga, yang lain pula dibuang
Bagi Cik Tom, masalah kucing terbiar sebenarnya berpunca daripada sikap dan kurangnya pengetahuan manusia mengenai tanggungjawab menjaga haiwan.
Menurutnya, ada kucing yang pada awalnya dijaga dengan baik tetapi mula terbiar apabila kesihatannya merosot atau berlaku pembiakan tidak terkawal.
“Kucing yang cantik biasanya dijaga ibarat menatang minyak yang penuh.
“Namun apabila pemakanan tidak sesuai dan kesihatan tidak dijaga, kucing menjadi kurus. Ada pemilik yang tidak bertanggungjawab kemudian membuangnya ke pasar berdekatan,” katanya.
Beliau berkata, masalah pembiakan yang tidak terkawal juga menjadi antara punca kucing akhirnya dibuang.

“Kucing terbiar bukan untuk dibuang atau ditidurkan”
Cik Tom berkata, antara salah faham yang masih wujud dalam masyarakat ialah anggapan kucing terbiar membawa penyakit, mencacatkan pemandangan dan mengotorkan kawasan.
Malah, katanya, ada yang berpendapat kucing-kucing berkenaan wajar ditangkap dan ditidurkan.
Namun, bagi Cik Tom, keadaan itu perlu dilihat dari sudut tanggungjawab manusia terhadap haiwan.
Di Bustana Kucing, kucing yang diselamatkan dengan pelbagai keadaan seperti patah, cacat, buta dan parvo dirawat berdasarkan pengetahuan yang ada dengan bimbingan veterinar bertauliah.
Oggy, si Meow yang tidak pernah dilupakan
Daripada begitu banyak kucing yang pernah diselamatkan, ada seekor yang mempunyai tempat istimewa dalam hati Cik Tom.
Namanya Oggy.
Oggy ialah seekor kucing domestik berbulu pendek berwarna colorpoint yang pernah diselamatkan dan dijaga sebaik mungkin oleh keluarga Cik Tom.
“Oggy tidur bersama saya dan paling aktif bermain.
“Kehilangan Oggy membuatkan saya menangis,” katanya.
Lebih memilukan, ketika penghujung hayatnya, Oggy seolah-olah menjauhkan diri daripada keluarga Cik Tom seakan-akan mengetahui masanya sudah hampir tiba.
“Keadaan itu meruntuhkan hati saya,” ujarnya.
Bagi Cik Tom, Oggy bukan sekadar seekor kucing.
Keberadaannya meninggalkan kesan positif kepada keluarga dan menjadi antara sebab mengapa nama si meow itu kekal dalam ingatan sehingga hari ini.

Tidak terkira duit poket sendiri yang sudah dikeluarkan
Di sebalik shelter yang beroperasi sejak 2015, ada pengorbanan yang tidak selalu dilihat masyarakat.
Menurut Cik Tom, pada peringkat awal, lokasi shelter disediakan oleh PKENPs, manakala beliau membekalkan makanan kucing daripada syarikatnya sendiri.
Modal turut datang daripada simpanan beliau dan Encik Taufik.
Kini, dengan bantuan orang ramai, kos makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan boleh mencecah sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sehari jika diterjemahkan kepada nilai ringgit.
“Ini selalu kami buat. Kami menggunakan duit sendiri untuk membeli makanan kucing pada awal penubuhan Bustana Kucing dahulu dan mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan,” katanya.
Apabila ditanya berapa banyak wang yang sudah dikeluarkan daripada poket sendiri sejak awal, jawapan Cik Tom ringkas.
“Tidak terkira dari awal lagi.”
26 staf jaga ratusan si meow
Menguruskan shelter dengan jumlah kucing yang ramai bukan tugas seorang dua.
Menurut Cik Tom, Bustana Kucing kini diuruskan sebagai sebuah keluarga dengan Encik Taufik sebagai pengurus di Perlis, dibantu 26 staf bagi memastikan operasi harian berjalan lancar.
Sejak 2018, jumlah staf yang terlibat secara harian berada sekitar 20 hingga 26 orang selain bantuan sukarelawan.
Bahagian hadapan shelter menempatkan kucing yang dipamerkan, manakala bahagian belakang dikhususkan kepada kucing yang memerlukan rawatan.
Bustana Kucing pula dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

Bukan perniagaan, tetapi tanggungjawab
Cik Tom turut menjelaskan bahawa Bustana Kucing merupakan sebuah NGO dan tidak mendatangkan pendapatan kepadanya.
Pada masa sama, beliau mempunyai syarikat sendiri dalam industri haiwan peliharaan.
Menurutnya, ketika peringkat awal, kos pengoperasian ditanggung oleh beliau dan Encik Taufik, termasuk menggunakan wang sendiri apabila terdapat keperluan mendesak.
“Kadang-kadang apabila keadaan memerlukan, saya akan mengeluarkan duit untuk program-program Bustana Kucing.
“Kebelakangan ini, kami amat terhutang budi dengan penyumbang yang menyumbang kepada Bustana Kucing,” katanya.
Pernah kekurangan dana, tetap cari jalan
Menurut Cik Tom, kekurangan makanan, ubat dan kos rawatan bukan sesuatu yang asing bagi pengurusan shelter.
Apabila seekor kucing memerlukan rawatan mahal tetapi dana tidak mencukupi, pihaknya akan berkongsi keadaan itu menerusi Facebook untuk mendapatkan bantuan.
Sementara menunggu sumbangan, kucing berkenaan tetap dihantar ke klinik veterinar dan sekiranya perlu, wang persendirian digunakan terlebih dahulu.
“Usaha baik sentiasa akan ada pihak yang mempertikai dan mencemuh.
“Alhamdulillah, itulah kekuatan kami bertahan sejak 2015,” katanya.
Malah, mereka yang mempertikaikan usaha itu turut dijemput menjadi sukarelawan supaya dapat melihat sendiri bagaimana Bustana Kucing beroperasi.
Kurang bersosial, tetapi “sukan” di Bustana Kucing
Pengorbanan Cik Tom bukan sekadar wang ringgit.
Masa juga menjadi taruhan.
Menurutnya, menguruskan shelter menjadikannya lebih penyabar dan matang dalam membuat keputusan.
Keluarga pula menjadi penyokong utama dan tidak pernah meminta beliau mengurangkan komitmen terhadap Bustana Kucing.
“Masa memerlukan pengorbanan. Kurang masa bersosial dan bersukan.
“Sukan kami adalah di Bustana Kucing,” katanya berseloroh.
Tidak mahu Bustana Kucing berhenti di Perlis
Buat masa ini, Cik Tom berkata saiz shelter sedia ada masih mencukupi untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang kerana pihaknya berdepan kekangan tenaga kerja.
Namun, impian jangka panjangnya adalah menjadikan Bustana Kucing sebagai sebuah taman kucing, seperti perancangan asal ketika nama itu diwujudkan.
Beliau juga berharap ada pihak lain yang dapat meniru atau replicate model Bustana Kucing di lokasi lain.
“Bustana Kucing memerlukan pengorbanan dan dana yang tinggi. Bagi saya, setakat ini Bustana Kucing hanyalah di negeri Perlis,” katanya.
Impian sebuah pusat rawatan sendiri
Seperti kebanyakan pengendali shelter, memiliki klinik veterinar atau pusat rawatan sendiri juga menjadi impian Cik Tom.
Namun beliau sedar kemampuan perlu diukur berdasarkan keadaan semasa.
“Ini merupakan impian setiap shelter. Kami mengukur kemampuan diri. Insya-Allah masa hadapan akan ada pihak yang mahu bekerjasama dengan kami,” ujarnya.
Beliau berkata, jenama Bustana Kucing juga sudah didaftarkan sebagai harta intelek.
“Bustana Kucing sebenarnya menyelamatkan saya”
Selepas lebih sedekad bersama dunia kucing, Cik Tom mengakui banyak perkara berubah dalam dirinya.
Beliau menjadi lebih sabar dan matang dalam menilai sesuatu perkara.
Lebih daripada itu, beliau merasakan Bustana Kucing juga sebenarnya memberi sesuatu kepadanya.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan untuk bersama Encik Taufik melahirkan Bustana Kucing.
“Bustana Kucing menyelamatkan saya dengan menanam kesabaran dan tanggungjawab,” katanya.
Jika berhenti, siapa akan jaga mereka?
Pernahkah terlintas untuk berhenti?
Jawapannya, belum.
Menurut Cik Tom, tanggungjawab yang dipikul sejak awal membuatkan beliau tidak melihat berhenti sebagai satu pilihan mudah.
“Bustana Kucing yang saya lahirkan menjadi tempat kucing-kucing gelandangan dan dibuang bergantung.
“Sekiranya saya berhenti, sudah pasti nasib yang tidak baik akan terjadi kepada kucing-kucing di Bustana. Ini merupakan motivasi terbesar kami untuk teruskan,” katanya.
Bukan mahu shelter besar, cuma mahu mereka ada rumah
Bagi Cik Tom, kejayaan Bustana Kucing bukan diukur berdasarkan sebesar mana shelter itu atau berapa banyak kucing yang berjaya dikumpulkan.
Sebaliknya, kepuasan terbesar hadir apabila kucing yang diselamatkan mendapat pemilik yang tepat.
“Kepuasan kami apabila mengetahui kucing-kucing yang diadopt mendapat pemilik yang betul. Kucing ada makan dan tempat tinggal yang selesa,” katanya.
“Kebanyakan perjalanan kucing gelandangan bermula dari rumah”
Cik Tom mahu masyarakat memahami satu perkara penting, kebanyakan kisah kucing gelandangan sebenarnya bermula dari rumah.
Menurutnya, pemilik perlu memahami bahawa menjaga kucing bukan tanggungjawab sementara.
“Kucing-kucing berkenaan adalah tanggungjawab yang harus dipikul sehingga masa menjemput mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru pemilik supaya mengambil langkah pemandulan bagi mengelakkan masalah pembiakan yang tidak terkawal.
Tak ada duit? Sumbang tenaga pun cukup
Bagi mereka yang mahu membantu tetapi merasakan tidak mempunyai wang yang banyak, Cik Tom berkata sumbangan tidak semestinya dalam bentuk kewangan.
“Sumbangan tenaga dan doa memadai.
“Kami turut menerima sumbangan serendah RM0.50 di dalam akaun kami. Dengan bilangan yang banyak, sumbangan sedikit ini pun akan berganda-ganda,” katanya.
“Kesemuanya. Tindakan tanpa upah berbeza dengan setiap orang.
“Kepuasan bersama dengan kucing-kucing apabila kucing yang sakit menjadi sihat, kucing yang sihat semakin sihat dan diadopt oleh keluarga yang tepat.
“Ianya pengorbanan kecil kami untuk dibawa ke sana kelak... insya-Allah,” katanya.

